Liga Super: Perlawanan sengit, Munoz puji pertahanan kental DPMM FC

KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menyifatkan pertemuan menentang DPMM FC sebagai perlawanan sengit apabila skuad Harimau Selatan itu dipaksa berhempas pulas untuk menembusi benteng pertahanan lawan dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Walaupun mendominasi penguasaan bola dan mengawal tempo permainan seawal wisel permulaan, JDT terpaksa menunggu hampir setengah jam sebelum akhirnya melakar kemenangan menyakinkan 3-0.

Munoz mengakui cabaran taktikal yang diberikan DPMM FC menerusi formasi pertahanan yang tersusun, sekali gus mengehadkan ruang untuk penyerang JDT melakukan gerakan berbahaya.

Bagaimanapun, pengendali dari Sepanyol itu memuji pemainnya kerana tampil tenang dan sabar dalam memecahkan benteng pertahanan DPMM FC menerusi kombinasi hantaran yang tepat serta tekanan balas yang berkesan.

“Perlawanan yang sengit. Mereka mempunyai susunan pertahanan yang baik, sukar untuk membuka ruang dan mencari gol pertama.

“Kami mengawal permainan, menggerakkan bola dari satu sisi ke satu sisi dan mencipta beberapa peluang penting, namun kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menjaringkan gol,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini, malam tadi.

Munoz menegaskan meskipun pasukannya berjaya meraih tiga mata penuh, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, khususnya dalam melakukan serangan serta memanfaatkan peluang daripada situasi bola mati dengan lebih berkesan.

Sementara itu, pembantu ketua jurulatih DPMM FC, Mohammad Helme Panjang memuji disiplin serta persembahan yang ditunjukkan anak buahnya ketika berdepan gergasi Liga Super itu.

Beliau berkata, pemain mempunyai peluang untuk mencetak jaringan sekiranya kemas dalam penguasaan bola serta lebih tenang merancang pergerakan ke kawasan serangan lawan.

“Bagaimanapun, saya ucapkan tahniah kepada semua pemain kerana dapat mengurangkan jaringan yang banyak di laman lawan,” katanya.

Perlawanan antara JDT dan DPMM FC pada awalnya dijadual berlangsung di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, namun ditukar ke Stadium Sultan Ibrahim atas faktor jerebu yang melanda Bandar Seri Begawan, Brunei. – Bernama

 

 

 

 

Scroll to Top