nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak lima aduan termasuk dua berkaitan pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diterima pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). setakat ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, aduan diterima dalam tempoh 31 Ogos hingga 2 September lalu.
“KPDN sejak dari awal sudah mengambil langkah-langkah mengambil kira tambahan pemberian RM100 SARA kepada semula golongan dewasa iaitu 22 juta rakyat Malaysia, membabitkan anggaran perbelanjaan melebihi RM2 billion.
“Antara langkah yang diambil oleh KPDN adalah meningkatkan pemantauan oleh Bahagian Penguatkuasaan KPDN, dengan sebanyak 8,438 premis diperiksa bagi tempoh 31 Ogos hingga 2 September lalu,” katanya.
Armizan dalam jawapan kepada soalan dibangkitkan di Dewan Negara, Rabu lalu berkata, pihaknya juga melakukan semakan data pemantauan harian oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) membabitkan 1,160 premis setiap hari dengan meliputi 316 barangan.
“KPDN juga mengambil langkah awal memasukkan kesemua barangan yang disenaraikan dalam program SARA dalam item pemantauan PPH.
“Mengikut prosedur operasi standard (SOP) KPDN, setiap aduan yang diterima berkaitan harga dan bekalan akan diambil tindakan dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Penghargaan SARA adalah pemberian sekali beri sebanyak RM100 kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas yang diumumkan kerajaan sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Inisiatif itu memberi memanfaat kepada 22 juta rakyat, melibatkan tambahan RM2 bilion, menjadikan peruntukan keseluruhan Sumbangan Tunai Rahman (STR) dan SARA tahun ini mencecah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




