Lima ekor anjing liar yang dipercayai menyerang kanak-kanak berusia dua tahun, Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi di Kampung Tambak, Peserai, di sini pada Selasa kini diburu bagi memastikan haiwan berkenaan dapat diperiksa dan dikenal pasti status rabies.
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khaled berkata, tindakan segera perlu diambil susulan kebimbangan pihak hospital terhadap kemungkinan anjing terbabit dijangkiti rabies.
Menurutnya, operasi besar-besaran memburu dan menangkap anjing liar di kawasan berkenaan dimulakan Pejabat Daerah Batu Pahat sejak Isnin dan akan dipergiatkan sekurang-kurangnya selama seminggu.
“Antara tanggungjawab besar pihak berkuasa ialah menangkap anjing liar berkenaan kerana kebimbangan pihak hospital sama ada anjing yang terlibat mempunyai penyakit rabies.
“Ini memerlukan tangkapan segera dibuat supaya anjing-anjing liar di kawasan tersebut dapat disemak dan diperiksa. Jika bebas rabies, barulah ada sedikit kelegaan kepada doktor serta ibu bapa kerana kebimbangan ini boleh menjejaskan tahap pemulihan anak ini,” katanya.

Sekadar gambar hiasan
Beliau berkata demikian ketika menziarahi Nur Haira yang masih menerima rawatan rapi di ICU Kanak-Kanak Hospital Sultanah Aminah (HSA), pada Selasa.
Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata, operasi berkenaan turut membabitkan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Operasi sedang berjalan ketika ini dan akan diteruskan serta dipanjangkan berdasarkan keperluan semasa.
“Saya menyeru PBT, Pejabat Daerah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar menggunakan semua kaedah yang dibenarkan undang-undang termasuk pemantauan dan intipan bagi memastikan masalah anjing liar di kawasan tersebut dapat diatasi,” katanya lagi.
Mohd Fared ( kanan) bertemu dengan ibu bapa Haira di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Menurutnya, operasi menangkap anjing liar di kawasan terbabit sebenarnya sudah dilaksanakan sebelum kejadian itu berlaku.
“Pada 12, 26 dan 30 Ogos lalu, MPBP bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menjalankan operasi dan 22 ekor anjing liar berjaya ditangkap.
“Namun kita akui masih terdapat banyak lagi anjing liar di kawasan tersebut sehingga kejadian malang ini menimpa anak kita,”ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Fared berkata, usaha membanteras anjing liar akan dipergiatkan di seluruh Johor susulan masalah sama yang turut dikesan berlaku di kawasan lain.
Katanya, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor turut mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) menyegerakan operasi berkenaan.
Sumber: Sinar Harian (Nor Azura Md Amin)
