am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lima penumpang cedera selepas panel kaca dalam tren laluan Kelana Jaya pecah, dalam kejadian berhampiran Stesen Dang Wangi di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 6.07 petang itu, dua daripada mereka dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini untuk rawatan lanjut, manakala penumpang lain menerima rawatan di lokasi.
Rapid KL berkata, insiden berlaku apabila sistem keselamatan automatik tren diaktifkan ketika tren sedang bergerak keluar dari stesen, menyebabkan tren berhenti secara serta-merta sebagai langkah kawalan operasi.
Katanya, pengaktifan sistem berkenaan sebahagian daripada ciri keselamatan tren sedia ada yang direka untuk memastikan sebarang situasi luar jangka dapat ditangani dengan segera.
“Susulan pemberhentian tren secara serta-merta itu, seorang penumpang yang sedang berdiri dipercayai hilang imbangan sehingga botol air yang dipegangnya terlanggar panel kaca di bahagian sisi tempat duduk.
“Impak berkenaan menyebabkan panel kaca berkenaan pecah dan serpihannya terkena beberapa penumpang yang duduk berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Menurutnya, susulan itu, lima penumpang dilaporkan cedera dengan dua daripada mereka sudah dibawa ke HKL untuk rawatan lanjut, manakala penumpang lain menerima rawatan di lokasi sebelum meneruskan perjalanan masing-masing.
“Penumpang lain di dalam tren tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah diturunkan di Stesen Damai untuk meneruskan perjalanan menggunakan tren berikutnya,” katanya.
Kenyataan itu berkata, sebagai langkah berjaga-jaga dan selaras dengan prosedur operasi standard, tren terbabit sudah dikeluarkan daripada perkhidmatan bagi membolehkan pemeriksaan teknikal menyeluruh dilaksanakan dengan lebih terperinci.
Katanya, sepanjang tempoh pengendalian insiden, perkhidmatan laluan Kelana Jaya terus beroperasi seperti biasa.
“Bagaimanapun, terdapat pelarasan pada kekerapan tren di beberapa lokasi sementara tren terbabit dibawa keluar dari perkhidmatan.
“Rapid KL sudah memulakan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca insiden dan akan terus memastikan tahap keselamatan serta keselesaan penumpang sentiasa diberi keutamaan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, penumpang dinasihatkan untuk sentiasa berpegang pada pemegang tangan serta berada dalam kedudukan stabil sepanjang perjalanan terutama ketika tren sedang bergerak atau menghampiri stesen.
Katanya, penumpang juga disarankan untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini perkhidmatan menerusi saluran media sosial rasmi Rapid KL atau aplikasi MyRapid PULSE.
Terdahulu, seorang pengguna di Threads berkongsi hantaran mengenai kejadian itu dengan mendakwa tren yang bergerak dari LRT Dang Wangi ke Kampung Baru membrek secara mengejut sehingga menyebabkan kaca pecah dan terkena penumpang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




