Limpahan air akibat hujan lebat, 120 penduduk di Kampung Gajah Mati berdepan kebimbangan

Limpahan air akibat hujan lebat, 120 penduduk di Kampung Gajah Mati berdepan kebimbangan

am@hmetro.com.my

Bachok: Lebih 120 penduduk di Kampung Gajah Mati, Tawang, di sini berdepan kebimbangan setiap kali menjelang musim tengkujuh.

Setiap tahun sejak 2020, sebanyak 23 keluarga di kampung itu berdepan kerosakan peralatan rumah malah ada yang musnah sepenuhnya sehingga mengalami kerugian mencecah puluhan ribu ringgit berikutan banjir melanda.

Ini kerana limpahan air akibat hujan lebat berterusan tidak dapat mengalir keluar melalui tali air kerana hanya terdapat dua sahaja pembetung dan itu pun bersaiz kecil serta gagal mengalirkan air keluar dalam kapasiti banyak setiap kali banjir.

Ditambah pula dengan keadaan tali air yang dipenuhi rumput rampai serta semak samun menimbulkan masalah besar terhadap aliran air menyebabkan air melimpah keluar sehingga memasuki kediaman penduduk.

Peniaga, Md Zamri Samsudin, 35, berkata, kampung mereka itu ibarat kawasan takungan kerana air dari setiap penjuru beberapa kampung sekitar mengalir dan memasuki kawasan tali air terbabit.

“Bagaimanapun dengan keadaan tali air yang dipenuhi semak samun begini, bagaimana air boleh mengalir keluar? Sebab itulah ia melimpah dan memenuhi jalan seterusnya memasuki kediaman penduduk.

“Kami sudah penat mengalami banjir sebegini setiap tahun sejak lima tahun lalu dan masalah ini sudah dalam pengetahuan pihak berwajib namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan.

“Limpahan air hujan yang datang dari segenap penjuru kampung akan bertakung sepanjang 500 meter di kawasan penempatan kami kerana tidak dapat keluar ke sungai disebabkan pembetung yang kecil maka berlakulah banjir termenung yang memakan masa hampir seminggu,” katanya kepada pemberita di sini.

Md Zamri berkata, tahun lalu, kerja-kerja membersihkan tali air yang terletak di bawah tanggungjawab pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak sudah dibuat dan itupun selepas beberapa kali surat dihantar.

Seorang lagi penduduk, Khairul Najid Tairan, 65, meluahkan kebimbangan apabila berlaku hujan berterusan kerana lokasi penempatan mereka sangat berisiko untuk dinaiki air malah setiap kali banjir, air memasuki dalam rumah sehingga 0.2 meter.

“Setiap tahun perkara yang sama akan kami alami (banjir termenung) dan tragedi pada 2022 paling memberi tamparan apabila habis peralatan dalam rumah musnah, tiga motosikal dan tiga kereta saya juga ditenggelami air.

“Sampai bila kami perlu berdepan masalah ini sedangkan ia boleh diatasi iaitu hanya dengan cara menukar pembetung yang lebih besar serta mencuci tali air yang dipenuhi semak samun.

“Pemimpin setempat pun sedia maklum mengenai masalah ini dan kami hanya diberi harapan bahawa isu ini sedang diambil tindakan tapi sehingga kini keadaan tetap sama, hujung tahun kami tetap ‘menunggu’ kedatangan banjir,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top