Linda Hashim tunai umrah, sebak 'berpisah' dengan anak

Linda Hashim tunai umrah, sebak 'berpisah' dengan anak

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemergian pelakon Linda Hashim ke Makkah untuk menunaikan umrah, diiringi dengan linangan air mata dari tiga anaknya, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6 tahun.

Momen sedih ini dikongsikan Linda atau Norhazlinda Hashim, 41, di Instagram Storynya yang memaparkan ketiga-tiga anaknya menangis untuk melepaskannya pergi ke Tanah Haram.

Biarpun berat, Linda yang diuji dengan isu tuntutan cerai terhadap suaminya, Beego, tetap cekal dengan misinya untuk melaksanakan haji kecil ini.

Ia juga dilihat sebagai satu ikhtiar dari Linda untuk mencari jalan agar memudahkan urusan kemelut rumah tangganya yang sudah setahun berjalan namun belum bertemu kesudahan.

Selain itu, Linda juga mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT serta melakukan pembersihan jiwa dan penghapusan dosa.

Pada 16 Disember lalu, Linda hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan untuk memfailkan taklik terhadap Beego.

Dia bagaimanapun berang apabila Beego gagal hadir ke mahkamah atas alasan kematian ibu saudara dan hanya diwakili peguamnya.

Hakim kemudian menetapkan sebutan kes pada 21 Januari depan.

Terdahulu, Linda menuntut cerai daripada Beego di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 6 Februari lalu atas alasan tiada lagi persefahaman di antara mereka.

Pasangan ini pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 sekali gus hadir bersama ke mahkamah bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.

Linda bagaimanapun mendakwa mereka kemudiannya bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk, namun kembali bersama tidak lama selepas itu.

Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada Jun 2013.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top