Lingard bantu West Ham 'ketuk' Leicester

LONDON: West Ham kembali melonjak ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan pasukan di tangga ketiga, Leicester 3-2 di Stadium London, sebentar tadi.

Jesse Lingard meledak dua gol pada minit ke-29 dan 44 untuk dia meneruskan rentak cemerlang sejak dipinjamkan oleh Manchester United sekali gus mencerahkan peluang ke Kejuaraan Eropah pada musim panas ini bersama England.

Jarred Bowen kemudiannya meletakkan Hammers 3-0 selepas dua minit babak kedua bersambung namun Kelechi Iheanacho menyumbat gol pertama Leicester pada minit ke-70.

Pemain Nigeria itu sekali lagi meledak gol pada masa kecederaan namun belum mencukupi untuk menafikan West Ham daripada meraih mata penuh.

Skuad bimbingan David Moyes itu kini ketinggalan satu mata di belakang Leicester dan satu mata mengatasi Chelsea di tangga kelima. -Agensi

© New Straits Times Press (M) Bhd