Frankfurt, Jerman: Liverpool menamatkan badi empat kekalahan berturut-turut dengan membelasah Eintracht Frankfurt 5-1 dalam saingan Liga Juara-Juara yang menyaksikan Hugo Ekitike menjaringkan gol untuk juara England itu menentang bekas kelabnya, awal pagi tadi.
Selepas Ekitike menyamakan kedudukan untuk Liverpool, Virgil van Dijk, Ibrahima Konate, Cody Gakpo dan Dominik Szoboszlai masing-masing menambah jaringan, dengan dua gol terakhir dibantu oleh Florian Wirtz yang membuat penampilan semula di Jerman.
Sebelum perlawanan di Frankfurt, skuad kendalian Arne Slot menyedari mereka berdepan kemungkinan mencatatkan siri kekalahan terburuk dalam tempoh 73 tahun sejak musim 1953-54, ketika tersingkir dari divisyen utama.
“Kami ialah Liverpool dan jika kami menang satu perlawanan bola sepak, kami tidak akan meraikannya hingga esok, tetapi saya gembira kami dapat menang,” kata Slot kepada DAZN.
Jurulatih Belanda itu merehatkan Mohamed Salah yang sedang bergelut dengan prestasi dan Liverpool dibolosi terlebih dahulu buat kali kelima berturut-turut apabila Rasmus Kristensen menjaringkan gol hasil serangan balas.
Namun, The Reds segera bangkit dan menjaringkan tiga gol dalam masa 10 minit untuk mendahului 3-1 pada separuh masa pertama.
Wirtz yang belum mencatat sebarang gol atau bantuan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris atau Liga Juara-Juara sejak perpindahan mahalnya ke Anfield, mencipta dua bantuan gol pada babak kedua untuk Gakpo dan Szoboszlai bagi memastikan kemenangan selesa.
Sementara Wirtz akhirnya mencatatkan sumbangan pertama, Alexander Isak sekali lagi dikeluarkan pada separuh masa dan digantikan dengan Federico Chiesa.
“Dia terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kerana berasa sedikit sakit di pangkal paha,” kata Slot kepada TNT Sports mengenai penggantian Isak. “Itu sesuatu yang malang. Saya sudah banyak kali katakan, sukar untuk mencari keseimbangan bagi pemain baru pulih selepas tiga bulan.”
Kemenangan itu pasti memberikan keyakinan besar buat Liverpool, namun pasukan Slot akan berdepan ujian lebih besar selepas ini berbanding Frankfurt, yang kini dibolosi 23 gol dalam enam perlawanan terakhir.
“Kami tahu kualiti yang kami miliki, semua pemain bertaraf dunia,” kata Wirtz. “Kami tidak bermula dengan baik tetapi kami bersatu dan mengubah rentak perlawanan.”
“Saya boleh buat lebih banyak lagi,” tambah Wirtz mengenai dua bantuan golnya. “Saya gembira kami menang dan akhirnya saya dapat membantu menjaringkan gol.”
Pada minit ke-26, Nathaniel Brown merampas bola daripada Wirtz sebelum Frankfurt melancarkan serangan pantas menerusi Mario Götze yang disudahi oleh Kristensen dengan rembatan kencang untuk membuka jaringan.
Namun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila pada minit ke-35 Andy Robertson yang memenangi bola melakukan hantaran jauh tepat kepada Ekitike yang membuat larian ke depan. Bekas penyerang Frankfurt itu menolak bola melepasi Michael Zetterer untuk gol penyamaan, sebelum mengangkat tangan memohon maaf kepada penyokong tuan rumah.
“Saya memang kena jaringkan gol itu,” kata Ekitike sambil tersenyum mengenai kepulangannya. “Ia satu perasaan luar biasa dan sangat istimewa untuk kembali.”
Gol tersebut hadir bertentangan dengan momentum permainan, tetapi ia membangkitkan semangat Liverpool.
Empat minit kemudian, Van Dijk menewaskan pertahanan lawan, Ansgar Knauff, untuk menanduk masuk sepakan penjuru Gakpo.
Satu minit sebelum rehat, Konate pula mengulangi aksi yang sama, menewaskan Knauff dan menanduk masuk satu lagi sepakan penjuru untuk menjadikan kedudukan 3-1.
Wirtz yang agak tenggelam pada separuh masa pertama mula menunjukkan pengaruhnya apabila Liverpool menguasai permainan. Pemain tengah Jerman itu menghantar bola lintang yang sempurna kepada Gakpo untuk gol keempat pada minit ke-66.
Szoboszlai kemudian melengkapkan pesta jaringan apabila menerima hantaran daripada Wirtz dan melepaskan rembatan deras dari jarak jauh 20 minit sebelum tamat.
Ia kemenangan pertama Liverpool sejak 23 September, dan juga kali pertama mereka menjaringkan tiga gol pada separuh masa pertama sejak Disember 2024.
Liverpool kini naik ke tangga ke-10 dalam carta 36 pasukan Liga Juara-Juara dengan enam mata selepas tiga perlawanan. Mereka akan menerima kunjungan Real Madrid pada 4 November.
Sementara itu, Frankfurt yang jatuh ke tangga ke-22 akan berkunjung ke Napoli pada hari yang sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




