Liverpool mungkin keluarkan modal RM715 juta dan 'korbankan' Elliott serta Quansah demi Wirtz

Liverpool mungkin keluarkan modal RM715 juta dan 'korbankan' Elliott serta Quansah demi Wirtz

Liverpool: Bayer Leverkusen dilaporkan berminat untuk memasukkan pertukaran pemain dalam rundingan perpindahan Florian Wirtz, dengan dua bintang muda Liverpool masing-masing Harvey Elliott dan Jarell Quansah yang dikatakan menjadi perhatian utama kelab Bundesliga itu.

Kedua-dua pemain muda itu dikagumi oleh Leverkusen susulan potensi besar yang mereka miliki, walaupun kurang mendapat peluang bermain musim lalu. Quansah hanya membuat empat penampilan sebagai kesebelasan utama dalam Liga Perdana, manakala Elliott memulakan dua perlawanan liga sahaja.

Ini menjadikan mereka calon utama untuk dijadikan ‘makeweight’ dalam perjanjian perpindahan mega membabitkan Florian Wirtz, yang kini dilaporkan semakin hampir menyertai Liverpool.

Kelab Merseyside itu mengemukakan tawaran bernilai £109 juta (RM650 juta) untuk pemain tengah berusia 22 tahun itu, dan perbincangan kini berada di peringkat akhir antara kedua-dua kelab.

Bayer Leverkusen pada awalnya meletakkan harga £126 juta (RM752 juta) bagi Wirtz, namun sumber dalaman mendedahkan bahawa kata sepakat dijangka dicapai sekitar £120 juta (RM715 juta) dalam masa terdekat.

Wirtz, yang memainkan peranan penting dalam kejuaraan Bundesliga Leverkusen musim lalu, menyatakan hasrat untuk menyertai Liverpool dan menjadikan Anfield sebagai destinasi pilihannya.

Pengarah Sukan Liverpool, Richard Hughes,mencadangkan satu pakej lengkap kepada rakan sejawatnya, Simon Rolfes, termasuk bonus prestasi mudah dicapai seperti kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah.

Difahamkan, lima peratus daripada yuran perpindahan itu akan diagihkan kepada kelab-kelab lama Wirtz, termasuk FC Koln, yang dijangka menerima pampasan sekitar €3 juta (RM15 juta).

Terdapat juga beberapa klausa tambahan seperti bayaran tambahan kepada Leverkusen sekiranya Liverpool menjuarai Liga Perdana atau Liga Juara-Juara, namun semua pihak yakin ia tidak akan menjadi penghalang.

Jika perpindahan ini berjaya dimuktamadkan, Wirtz akan menjadi pemain termahal dalam sejarah bola sepak Britain, mengatasi rekod semasa yang dipegang oleh Enzo Fernandez.

Ia juga mencerminkan komitmen pemilik kelab, Fenway Sports Group, yang sebelum ini membelanjakan besar untuk bintang seperti Van Dijk, Salah dan Nunez.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top