hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Subang: Kerajaan komited memperkukuhkan keupayaan dan kesiapsiagaan pertahanan laut negara melalui penambahan aset baharu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) termasuk perolehan Kapal Misi Pesisir (LMS) dan pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang ketika ini berada dalam fasa ujian pelabuhan dan laut.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, LCS pertama dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun hadapan sekali gus selaras dengan jadual dan perancangan Kementerian.
Menurutnya, kerajaan juga mempunyai komitmen tinggi untuk memastikan aset pertahanan laut negara berada dalam keupayaan tinggi.
“Kita mempunyai komitmen untuk menambah LMS kita yang seperti mana kita lakukan di Turkiye dan dalam masa yang sama kita sedang menyiapkan LCS. Buat masa ini kalau kita lihat LCS yang pertama itu sudah kita muktamadkan pembinaannya.
“Sekarang ini (LCS pertama) dalam proses ujian di pelabuhan dan laut. Jadi kita harap menjelang tahun hadapan kita akan dapat memenuhi keperluan LCS. Ini antara komitmen yang dibuat oleh kerajaan untuk pastikan aset baru ini akan mula dapat menjelang tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya,” katanya selepas merasmikan studio digital yang dinamakan Affin Digital Space Sekolah Kebangsaan (SK) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, di sini, hari ini.
Studio yang dibangunkan sejak setahun lalu mempunyai teknologi layar hijau untuk kegunaan pelajar dan pendidik melaksanakan program berasaskan media digital dengan kandungan kreatif.
Turut hadir, Ketua Pengarah Eksekutif, Perbankan Komuniti Kumpulan Affin Bank Berhad, Mohammad Fairuz Mohd Radi dan Guru Besar SK TUDM Subang, Zatul Bazamah Abu Bakar.
Adly berkata, kerajaan turut memastikan setiap aset baharu dilengkapi teknologi terkini bagi memenuhi keperluan semasa dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.
Sedia terima delegasi Lima ’25
Sementara itu, mengenai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) edisi ke-17 mulai 20 hingga 24 Mei ini, beliau berkata, pihaknya juga sudah bersedia menerima delegasi antarabangsa serta sudah melakukan persiapan kukuh penganjuran program berkenaan.
“Kita tahu LIMA bukan saja membabitkan tentang promosi aset pertahanan tetapi yang paling penting adalah diplomasi kita (dengan) tetamu (delegasi) daripada luar negara. Kita sudah bersedia untuk itu,” katanya.
Projek rintis program digitalisasi dilaksanakan di 3 SDK
Kementerian Pertahanan juga melaksanakan projek rintis program digitalisasi sekolah membabitkan tiga sekolah dalam kem (SDK) dengan kerjasama KPM dan Affin Bank Berhad.
“SK TUDM Subang adalah sekolah kedua yang menerima manfaat itu selepas SK KEMENTAH yang sudah memiliki studio teknologi layar hijau pertama menerusi program berkenaan pada 13 Mac lalu.
“Selepas ini, Sekolah Kebangsaan Sir Sultan Ibrahim, Kluang di Johor juga bakal menerima manfaat sama dijangka pada Jun depan. Ketiga-tiga studio di sekolah berkenaan membabitkan kos sebanyak RM94,000 melalui sumbangan Affin Bank,” katanya.
Menurutnya, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat pelajar dalam bidang digital, malah membantu meningkatkan kesejahteraan anggota tentera menerusi pendidikan anak mereka.
Katanya, pihaknya turut berhasrat mahu semua SDK mendapat peluang sama, namun buat masa ini menumpukan tiga sekolah berkenaan dan akan melihat impak pelaksanaannya untuk penambahbaikan.
“Program digitalisasi adalah sebahagian daripada matlamat kita untuk pastikan bahawa sekolah dalam kem ini mempunyai keupayaan itu,” katanya sambil menambah terdapat kira-kira 27 SDK di seluruh negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




