am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengakui sebahagian ruang awam di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, khususnya lobi dan laluan utama dijadikan tempat berehat waris pesakit yang datang dari luar daerah.
Menerusi satu kenyataan, JKNS berkata, kebanyakan mereka adalah waris, penjaga atau pengunjung yang datang dari luar daerah dan kawasan pedalaman serta mempunyai kekangan mendapatkan penginapan sementara di luar hospital.
Katanya, walaupun HQE mempunyai balai pelawat yang boleh digunakan pengunjung dari jauh, ia tidak mencukupi untuk menampung bilangan waris pesakit yang ramai.
“Pihak hospital memahami keadaan dan kesulitan dihadapi oleh waris pesakit, khususnya mereka yang datang dari jauh.
“HQE akan terus memantau penggunaan ruang awam seperti lobi dan laluan utama bagi memastikan aspek keselamatan, kebersihan, keselesaan serta kelancaran pergerakan pesakit, waris dan petugas hospital sentiasa terpelihara,” katanya.
Kenyataan itu menyusul sebagai maklum balas terhadap hantaran di Facebook mengenai keadaan di hospital itu pada tengah malam dan awal pagi yang antara lain memaparkan ramai orang tidur di kerusi menunggu di kawasan lobi dan koridor HQE.
Hantaran itu turut menyatakan situasi di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) yang ramai pesakit menunggu giliran mendapatkan rawatan, manakala kantin dilaporkan tutup pada 12 tengah malam, selain masalah letak kereta.
Berikutan situasi itu, JKNS memberi jaminan usaha memperkukuh pemantauan di kawasan lobi, laluan awam dan ruang menunggu HQE pada waktu malam akan diambil sebagai langkah penambahbaikan di hospital itu.
Katanya, HQE juga akan menyelaras semula maklumat berkaitan operasi kantin dan meningkatkan komunikasi kepada pesakit serta waris berhubung proses menunggu dan keutamaan rawatan di ETD HQE.
“JKNS dan HQE komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang selamat, berhemah dan berterusan kepada semua pesakit, di samping menambah baik kemudahan serta pengalaman orang awam dari semasa ke semasa,” katanya.
JKNS berkata, pesakit di ETD dirawat berdasarkan tahap kecemasan melalui sistem triage, dan bukan semata-mata mengikut nombor giliran.
“Kes yang lebih kritikal akan diberi keutamaan segera. Pada malam berkenaan, perkhidmatan ETD berjalan seperti biasa dengan kehadiran pesakit berterusan.
“Bagi Zon Hijau, seramai 42 pesakit direkodkan antara jam 9 malam hingga 10 pagi, dengan dua orang pegawai perubatan bertugas di zon itu,” katanya.
Mengenai operasi kantin hospital, JKNS menjelaskan kantin HQE beroperasi 24 jam setiap hari, kecuali penutupan sementara pada setiap Sabtu bermula jam 12 tengah malam hingga 5 pagi bagi tujuan kerja pembersihan secara berjadual.
Bagi isu letak kereta katanya, kemudahan parkir di kawasan HQE boleh menjadi terhad pada masa tertentu, khususnya apabila jumlah pesakit, waris dan pengunjung adalah tinggi.
“Pihak hospital akan terus memantau aliran trafik dan pengurusan parkir dengan kerjasama petugas keselamatan bagi mengurangkan kesesakan setakat kemampuan fasiliti sedia ada,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




