'Saya dengar batang pokok jatuh berlaga sesama sendiri' – Detik cemas keluarga terperangkap akibat kepala air

'Saya dengar batang pokok jatuh berlaga sesama sendiri' – Detik cemas keluarga terperangkap akibat kepala air

am@hmetro.com.my

Yan: “Saya panik bila emak beritahu air sungai dah melimpah di halaman rumah dan masuk perlahan-lahan ke dalam rumah kerana waktu itu saya sedang menyusu bayi berusia tiga bulan.

“Ketika itu hujan lebat berterusan hampir empat jam dan saya nampak dari jauh, batang kayu berselerak mengikut arus sungai akibat kepala air dari kawasan air terjun Batu Hampar, ” kata Nur Syamimi Shahidan, 27.

Nur Syamimi berkata, ketika kejadian dia bersama lapan ahli keluarga termasuk suami, Muhammad Zahir Mustaffa, 28, dan ibunya, Normah Mansor, 51, serta dua anaknya, Muhammad Marteen Zarif Muhammad Zahir, 3, serta bayinya, Melor Zahra, tiga bulan.

Selain itu, tiga adiknya, Nur Syazwani Shahidan, 23, Shafiq Hafzan, 15, dan Nur Syafa Raisha, 8, turut berada dalam rumah manakala bapanya, Shahidan Ahmad, 53, tiada di luar.

“Hujan lebat mula sejak 6.30 pagi lagi dan berterusan sampai jam 10 pagi sebelum kejadian kepala air ini berlaku.

“Masa tu saya dengar batang pokok yang jatuh dari bukit berlaga sesama sendiri dan arus air sungai sangat deras sehingga jalan masuk ke rumah kami terputus.

“Sepanjang tempoh itu, saya berdoa supaya kami sekeluarga dapat diselamatkan kerana kami tak boleh keluar, keliling rumah penuh air, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Keramat, Jalan Batu Hampar, di sini hari ini.

Nur Syamimi berkata, dia bersyukur dan lega sebaik melihat pasukan bomba sampai bersama penduduk kampung dan polis yang membantu mengeluarkan mereka ke tempat selamat.

Suaminya, Muhammad Zahir berkata, mujur dia sempat menyelamatkan Perodua Myvi mereka ke kawasan selamat, jika tidak sudah tentu rosak dipenuhi air.

Katanya, dia menghubungi penduduk kampung memaklumkan kejadian limpahan air sungai sebelum menghubungi bomba.

“Saya masa tu tak tahu nak buat apa, cuma selamatkan kereta dan anak-anak terlebih dahulu dan minta mereka duduk dalam rumah sehingga bantuan tiba.

“Lepas diselamatkan bomba, kami tinggal di inap desa berhampiran dan pulang semula ke rumah untuk bersihkan keadaan keliling rumah.

“Tapi kalau hujan lagi, kami akan pulang semula ke inap desa kerana bimbang dengan keadaan cuaca yang tidak menentu kerana dah dua kali kepala air berlaku dalam tempoh dua bulan tetapi kali ini agak teruk kerana air sangat laju,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, enam mangsa termasuk seorang bayi terperangkap akibat limpahan air sungai susulan kejadian kepala air di Jalan Batu Hampar, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farid Mohd Razali berkata, semua mangsa adalah penduduk Kampung Permatang Keramat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top