KOTA BHARU – Koperasi Orang Kota Bharu Berhad (COOP OKB) memperluaskan peluang pemilikan hartanah dalam kalangan ahlinya menerusi jalinan kerjasama strategik dengan Malvest Group, sekali gus memperkukuh usaha meningkatkan manfaat ekonomi kepada anggota koperasi dan komuniti.
Pengerusinya, Datuk Nik Izani Nik Ibrahim berkata, kerjasama itu selaras dengan aspirasi koperasi untuk mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada ahli, khususnya dalam sektor hartanah yang dilihat mempunyai potensi pertumbuhan.
Menurut beliau, menerusi kerjasama tersebut, COOP OKB bertindak sebagai rakan strategik bagi memperkenalkan projek kediaman Arika di Kubang Kerian kepada ahli koperasi dan masyarakat.
“Kerjasama ini mampu memberikan nilai tambah kepada ahli melalui akses kepada projek kediaman yang berkualiti serta berpotensi menjadi satu pelaburan yang baik pada masa hadapan,” katanya semasa Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara COOP OKB dengan Malvest Group di sini pada Isnin.
Ujar beliau, inisiatif itu turut membuka ruang kepada masyarakat untuk memiliki kediaman moden di lokasi strategik, selain menyokong pembangunan ekonomi komuniti menerusi penglibatan koperasi dalam sektor hartanah.
Tambahnya, projek kediaman berkenaan mempunyai potensi permintaan yang tinggi berikutan lokasinya berhampiran Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dan Universiti Sains Malaysia (USM), sekali gus sesuai dijadikan kediaman sendiri, rumah pertama atau disewakan.
Kata beliau, projek itu menawarkan 668 unit kediaman servis berperabot lengkap dalam pembangunan setinggi 42 tingkat yang turut dilengkapi pelbagai kemudahan moden serta sistem keselamatan.
“COOP OKB berharap kerjasama strategik itu menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif yang memberi manfaat kepada ahli koperasi dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti pada masa hadapan,” katanya.



