Lonjakan kes di Thailand, Singapura, NSW

Lonjakan kes di Thailand, Singapura, NSW

BANGKOK: Thailand dan New South Wales, Australia merekodkan peningkatan kes jangkitan COVID-19, manakala Singapura menimbangkan sekatan baharu.

Keputusan dibuat ketika ketiga-tiga negara meningkatkan program vaksinasi terutama di Singapura di mana jangkitan baharu dikesan berpunca dari pusat karaoke.

Australia mencatatkan jumlah kes ketiga tertinggi bagi lonjakan terbaru hari ini ketika pihak berkuasa berusaha mengekang wabak berkenaan.

Ia mencatatkan 97 kes tempatan baharu dalam tempoh 24 jam sehingga 8 malam tadi walaupun bandar raya Australia yang paling ramai penduduknya, Sydney, masih menguatkuasakan penutupan.

Ketua Menteri, Gladys Berejiklian, memberitahu wartawan, pihak berkuasa bimbang kerana hampir separuh daripada kes baharu adalah dalam komuniti, yang mungkin akan menyebabkan peningkatan kes.

Beliau turut membayangkan bahawa pihak berkuasa tidak akan ragu-ragu untuk mengetatkan sekatan bagi mengekang wabak.

Data rasmi Thailand pula melaporkan 9,692 kes baharu pada hari ini, iaitu catatan rekod harian baharu sejak wabak itu bermula.

Ia adalah peningkatan 13 kali ganda sejak awal April, ketika ia dilanda oleh gelombang ketiga dan kemunculan varian Delta.

Negara itu juga melaporkan 67 kematian dalam 24 jam terakhir, menjadikan jumlah kematian terkumpul kepada 3,099 mangsa.

Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung, dalam catatan Facebooknya semalam, berkata negara itu menyaksikan kadar pengambilan vaksin lebih daripada 80 peratus pada hampir setiap kumpulan umur.

Ia merujuk kepada penduduk yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin serta mereka yang mendaftar slot suntikan.

Data yang dikumpulkan oleh Bloomberg menunjukkan lebih daripada 71 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Pfizer-BioNTech atau Moderna, antara kadar tertinggi di dunia untuk negara lebih lima juta penduduk.

Namun, peratusan yang menerima kedua-dua suntikan hanya 43 peratus, dengan kebanyakan penerima bawah usia 45 masih dalam tempoh sela beberapa minggu selepas dos pertama dan menunggu suntikan kedua.

Ye Kung berkata, mereka yang berumur 70 tahun ke atas mempunyai kadar pendaftaran terendah berbanding mana-mana kumpulan yang layak iaitu sekitar 71 peratus.

Katanya, negara itu mendorong doktor untuk membantu memanggil mereka yang berusia dan memujuk mereka untuk mendapatkan vaksinasi.

Singapura melaporkan 42 kes baharu dalam komuniti semalam, iaitu tambahan daripada 56 kes pada hari sebelumnya. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top