Loqman lemas ketika selamatkan adik dihanyutkan arus

Loqman lemas ketika selamatkan adik dihanyutkan arus

am@hmetro.com.my

Melaka: Kanak-kanak lelaki yang lemas di Taman Ayer Keroh Heights, di sini, semalam, cuba menyelamatkan adiknya yang terjatuh ketika bermain berhampiran longkang di kawasan berkenaan.

Mangsa, Muhammad Loqman Afandy, 12, dikatakan sedang bermain air bersama adiknya, Muhammad Adam Afandi, 10, serta dua rakan mereka ketika hujan renyai, kira-kira 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, bagaimanapun, tiba-tiba adik mangsa dipercayai terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras longkang itu.

“Melihat keadaan itu, mangsa bersama seorang lagi rakannya, Yuvanath, 10, cuba menyelamatkan kanak-kanak terbabit.

“Namun, arus deras menyebabkan mangsa, adiknya dan rakannya turut dibawa arus, namun dua kanak-kanak berkenaan berjaya menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, seorang lagi rakan mereka, Arash, 10, yang berada agak jauh dari lokasi kejadian kemudian mendapatkan bantuan jiran berhampiran sebelum panggilan kecemasan dibuat jam 5.51 petang.

Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi jam 6.10 petang sebelum melancarkan operasi mencari dan menyelamat.

“Mangsa ditemui kira-kira 20 minit kemudian dalam keadaan tidak sedarkan diri.,

“Bantuan pernafasan kecemasan (CPR) diberikan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 8.09 malam ketika menerima rawatan di Zon Merah hospital berkenaan.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top