Paris: Legenda bola sepak Jerman, Lothar Matthaus mencuri tumpuan apabila hadir ke majlis Anugerah Ballon d’Or di Paris bersama teman wanitanya, Theresa Sommer yang berusia 26 tahun, awal pagi tadi.
Matthaus, 64, kelihatan mesra bergandingan dengan Sommer di karpet merah, sekali gus mengesahkan hubungan mereka selepas beberapa kali dirakam bersama sejak awal tahun ini.
Perbezaan usia 38 tahun tidak menghalang bekas kapten Jerman itu untuk tampil terbuka mengenai hubungan dengan model jelita berkenaan selepas berpisah dengan isteri kelimanya, Anastasia Klimko, pada 2021.
Sommer yang pernah menuntut dalam bidang ekonomi dan pengurusan di King’s College London sebelum melanjutkan pengajian psikologi di Universiti Durham pertama kali dilihat bersama Matthaus pada April lalu.
Akhbar Bild sebelum ini cuba mendapatkan penjelasan daripada Matthaus mengenai hubungan terbarunya, namun beliau enggan memberi komen.
Kehidupan peribadi Matthaus sememangnya penuh warna-warni.
Sejak berkahwin kali pertama pada 1981, beliau sudah melalui lima perkahwinan sebelum ini bersama beberapa figura ternama termasuk model Switzerland, Lolita Morena dan model Ukraine, Kristina Liliana Chudinova.
Perkahwinan terakhirnya bersama Klimko pada 2014 turut dikurniakan seorang anak lelaki, Milan, namun berakhir dengan perceraian.
Kehadiran Matthaus dan Sommer di Theatre du Chatelet menyaksikan mereka bersama-sama menyaksikan detik Ousmane Dembele diumumkan sebagai pemenang Ballon d’Or menewaskan bintang muda Barcelona, Lamine Yamal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




