LOTUSS Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) meneruskan usaha dalam meningkatkan kebolehpasaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia.
Pengarah Perhubungannya, Darshan Singh berkata, kempen tersebut akan menampilkan 15 jenama PKS Johor seperti Adami, Peladang, Ija Kitchen, Mama Huda dan ADW.
Menurutnya, acara tersebut akan berlangsung di cawangan Lotus’s Desa Tebrau bermula dari 28 November hingga 1 Disember 2024.
Kempen akan berlangsung di cawangan Lotus’s Desa Tebrau bermula dari 28 November hingga 1 Disember 2024.
“Melalui penganjuran kempen ini, Lotus’s Malaysia terus berusaha dalam menyediakan platform bagi PKS Johor untuk mempromosikan produk mereka bukan sahaja kepada pengguna tempatan tetapi juga kepada pelanggan dari negara jiran seperti Singapura.
“Kami memahami tanggungjawab dalam menyokong jenama tempatan, merangsang ekonomi negara, dan meneroka potensi produk tempatan selain dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran PKS, memperluas capaian kepada platform yang besar serta meningkatkan kesedaran jenama,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, menurut Darshan, kempen yang dilancarkan bermula Ogos lalu telah dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tujuh tahun berturut-turut.
Pelbagai produk keluaran PKS akan dijual di Lotus’s Desa Tebrau, Johor.
Tambah beliau, kesemua jenama tersebut akan dipamerkan secara eksklusif selama empat hari dan berpeluang menjadi pembekal Lotus’s sekiranya prestasi baik ditunjukkan sepanjang kempen berlangsung.
Jelasnya, selain mempromosikan produk PKS Johor, pengguna juga boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti pameran produk, demonstrasi memasak secara langsung, sampel produk dan tawaran kombo serta diskaun eksklusif.
“Lotus’s turut menampilkan empat jenama PKS yang telah bekerjasama sebelum ini di ruang acara pasar raya Desa Tebrau pada 30 November 2024 antaranya ialah Aducktive, Vits, Nureys, dan Jasmani oleh Anis Café Enterprise.
“Sehingga kini, Lotus’s Malaysia telah menyenaraikan lebih daripada 1,200 unit simpanan stok (SKU) daripada lebih 120 pembekal PKS meliputi pelbagai produk makanan, makanan segera, makanan sejuk beku, produk isi,rumah, penjagaan diri dan produk kesihatan,” katanya.