Lovlina jamin pingat pertama India

Lovlina jamin pingat pertama India

Glasgow: Peninju wanita India, Lovlina Borgohain menghadiahkan khabar gembira buat kontinjen negaranya apabila sudah dijamin sekurang-kurangnya pingat gangsa Sukan Komanwel Glasgow 2026, meskipun belum menjejakkan kaki ke gelanggang.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 itu menerima ‘bye’ terus ke separuh akhir acara 75 kilogram (kg) wanita susulan jumlah penyertaan yang kecil dalam kategori berkenaan.

Mengikut format pertandingan tinju di Sukan Komanwel, kedua-dua atlet yang tewas di separuh akhir akan menerima pingat gangsa, sekali gus menjamin tempat Lovlina di podium sebelum aksi pertamanya bermula.

Lovlina dijadual memulakan kempen pada 31 Julai apabila menentang wakil Tuvalu, TKBP Taafaki bagi merebut tiket ke final.

Kemenangan akan memastikan sekurang-kurangnya pingat perak, manakala kemenangan di final pula menghadiahkannya pingat emas.

Pencapaian itu menyaksikan India membuka akaun pingat temasya kali ini lebih awal, malah sebelum majlis pembukaan rasmi berlangsung di Glasgow.

Lovlina yang kini bersaing dalam kategori 75kg masih memburu pingat emas sulung Sukan Komanwel untuk melengkapkan koleksi kejayaannya di pentas antarabangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top