KUALA LUMPUR – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) terpaksa menghentikan penyaluran air mentah ke muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Batu 11, Cheras di sini selama tiga jam bermula 3 petang semalam.
Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, LUAS mengesan sisa kebakaran dan air pemadaman beberapa kilang yang terbakar memasuki sistem perparitan dan seterusnya ke Sungai Langat.
“Anggaran jarak insiden tersebut ke LRA terhampir iaitu LRA Batu 11, Cheras adalah 400 meter. Pensampelan LUAS di Sungai Langat telah mengesan bau sebanyak dua ton dan pihak Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) telah dimaklumkan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, LUAS telah menerima maklumat berkenaan insiden kebakaran melibatkan beberapa kilang di Pusat Perindustrian Budiman, Kajang awal pagi pada Jumaat.
Hasil pemeriksaan di persekitaran kawasan kebakaran, LUAS mendapati terdapat kira-kira 10 premis sedang terbakar dipercayai bermula sejak 3 pagi semalam.
Selain itu, Loy Sian berkata, LUAS menyekat dan menakung aliran persekitaran tersebut menggunakan 13 beg Activated Carbon (AC) berjumlah 325 kilogram.
“Sehingga kini di dalam sump bagi tujuan nyah bau sebelum aliran tersebut mengalir sehingga ke Sungai Langat,” katanya.

Tambahnya, hasil usaha pencegahan, penyaluran air mentah ke LRA Batu 11, Cheras dapat beroperasi semula pada 6 petang setelah bacaan bau 0 ton direkodkan tiga kali berturut-turut.
“LRA tersebut dengan kapasiti 27 juta liter sehari (JLH) dan kemampuan bekalan kepada anggaran 8,779 akaun di sekitar 30 kawasan Cheras dan Balakong dapat beroperasi semula 6 petang semalam,” katanya.
Dalam pada itu, LUAS juga telah melantik kontraktor panel untuk segera melaksanakan kerja kawalan persekitaran dan penyedutan air sisa pemadaman dari longkang sekitar kawasan kebakaran.
“Kerja-kerja berkenaan siap sepenuhnya pada jam 10.30 malam, semalam,” katanya.
Pemantauan dan pensampelan LUAS setiap 30 minit di beberapa lokasi berpotensi di Sungai Langat termasuk pemantauan statik di jambatan Teras Jernang juga sedang giat dilaksanakan.
“Sehingga kini, LUAS masih meneruskan kawalan dan pemantauan di lokasi kebakaran bagi memastikan aliran sisa dikawal sepenuhnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette




