mhafis@mediaprima.com.my
Ampang Jaya: Kanak-kanak perempuan trauma selepas menjadi mangsa amang seksual guru tuisyen di sebuah pusat tuisyen di di sini, sejak Mac lalu.
Kejadian itu terbongkar selepas ibu mangsa berusia 40 tahun bertanya perkembangan pelajaran kepada anaknya yang berusia 10 tahun itu sebelum mangsa menceritakan guru lelakinya melakukan perbuatan terbabit.
Menurut sumber, mangsa memberitahu kejadian itu berlaku lebih dari sekali sejak Mac lalu selepas guru itu mula mengajarnya sejak dua bulan lalu.
“Ibunya yang terkejut dengan pendedahan mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah.
“Susulan itu, polis menahan suspek pada 11.45 pagi Selasa lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, suspek kini direman dan sudah mendapat arahan pertuduhan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan suspek dijangka akan didakwa pada Selasa ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd