Lubnan senasib Gaza terus dihujani bom

Lubnan senasib Gaza terus dihujani bom
Lubnan senasib Gaza terus dihujani bom

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara selepas pinggir selatan Lubnan dibedil bertalu-talu pada akhir minggu lalu.

BEIRUT – Rejim Zionis terus memperhebatkan kempen pengeboman ke atas Lubnan pada Ahad, sehari selepas Israel mengancam mahu membedil lintasan sempadan utama Masnaa ke Syria hingga memaksa pihak berkuasa menutup laluan tersebut atas faktor keselamatan.

Orang awam di Beirut terus menjadi mangsa kekejaman Zionis manakala nasib lebih sejuta penduduk yang kehilangan tempat tinggal semakin terpinggir memandangkan perhatian komuniti antarabangsa lebih tertumpu kepada perkembangan Perang Iran.

Lubnan kini terperangkap dalam konflik di Asia Barat yang dikhuatiri akan senasib dengan Genting Gaza setelah rejim Tel Aviv merancang untuk menubuhkan ‘zon penampan’.

Jengkaut membersihkan sisa runtuhan konkrit di perkampungan Kfar Hatta yang dibedil Zionis.

Jengkaut membersihkan sisa runtuhan konkrit di perkampungan Kfar Hatta yang dibedil Zionis.

Rancangan jahat untuk ‘menakluk’ kawasan sempadan di Beirut bukan sahaja mencetuskan ketegangan malah turut meragut nyawa anggota misi pengaman yang bertugas di ‘zon larangan’ yang ditetapkan Zionis sejak beberapa minggu lalu.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melancarkan kempen pencerobohan termasuk mengerahkan unit infantri ke selatan sejak 2 Mac lalu setelah pejuang Hizbullah bersama-sama menentang musuh Teheran.

Bangunan kediaman di kawasan kejiranan Shiyah turut dibom tanpa perikemanusiaan.

Bangunan kediaman di kawasan kejiranan Shiyah turut dibom tanpa perikemanusiaan.

Nancy Hassan, 53, pada mulanya menyangka kediamannya adalah tempat selamat untuk berlindung.

“Tetapi, tidak sama sekali. Bunyi letupan berterusan menggegar kawasan kejiranan Jnah tanpa sebarang amaran,” ujarnya yang pernah kehilangan anak perempuan ketika perang pada 2024.

Lebih 1,400 termasuk 126 kanak-kanak dilaporkan terkorban selepas konflik antara Israel dan Hizbullah kembali tercetus.

Kawasan tanah perkuburan sementara di bandar Tyre disediakan bagi mengebumikan mangsa kezaliman rejim Zionis.

Kawasan tanah perkuburan sementara di bandar Tyre disediakan bagi mengebumikan mangsa kezaliman rejim Zionis.

Ketika askar Zionis semakin mara dan memusnahkan perkampungan di selatan Beirut, Presiden Joseph Aoun mengulangi desakan untuk berunding dengan Tel Aviv setelah beliau berikrar mahu melindungi kawasan berkenaan daripada binasa teruk seperti yang menimpa Gaza.

“Kita wajar berbincang. Sekurang-kurangnya sesi dialog tersebut dapat menyelamatkan rumah-rumah yang terpaksa ditinggalkan penduduk sejak sebulan lalu,” katanya lagi. – Agensi

 

Scroll to Top