SAINT PETERSBURG: Penyerang Belgium, Romelu Lukaku mengakui dia mengalirkan air mata susulan insiden yang menimpa Christian Eriksen sebelum mendedikasikan dua gol yang dijaringkan ketika menewaskan Russia 3-0, sebentar tadi buat rakan sepasukannya di Inter Milan itu.
“Saya sangat gembira kami berjaya melakar kemenangan, tetapi sukar untuk saya bermain kerana saya sentiasa memikirkan mengenai Christian Eriksen.
“Saya dedikasikan gol ini untuk dia,” kata Lukaku yang muncul pemain terbaik perlawanan di Saint Petersburg.
Lukaku membuka tirai jaringan buat Belgium dan kemudiannya menjerit di depan kamera, ‘Chris, Chris, stay strong (kekal kuat)… I love you (saya sayang kamu)’ ketika meraikan gol pertamanya pada minit ke-10 itu.
Eriksen dilaporkan sudah sedarkan diri di hospital selepas tumbang ketika aksi Euro 2020 menentang Finland di Copenhagen.
Di Saint Petersburg, pemain gantian, Thomas Meunier meledak gol kedua buat Belgium pada minit ke-34, sebelum Lukaku melengkapkan kemenangan pasukan itu dengan gol ketiga pada lewat babak perlawanan.
“Saya menangis sebelum perlawanan,” dedah Lukaku selepas tamat perlawanan.
“Saya menghabiskan banyak masa bersamanya,” kata Lukaku mengenai Eriksen selepas mereka membantu Inter menjulang trofi Serie A musim lalu.
“Doa saya untuk isteri dan anak-anaknya.”
Lukaku kini sudah menjaringkan 20 gol dalam 15 penampilan terakhirnya di pentas antarabangsa. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




