Lukisan kanak-kanak Malaysia bantu dana pemuliharaan hutan dan laut global

Lukisan kanak-kanak Malaysia bantu dana pemuliharaan hutan dan laut global

Kuala Lumpur : Kao Malaysia menganjurkan Majlis Penyampaian Anugerah bagi Pertandingan Lukisan Alam Sekitar Antarabangsa Kao kali ke-16 untuk Kanak-kanak bagi mengiktiraf bakat muda yang menzahirkan harapan terhadap kelestarian masa depan.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarahnya, Nor Hapipah dan Penolong Pengarah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Wan Mohd sebagai tetamu kehormat bagi meraikan pencapaian pelajar dari seluruh negara.

Sejak dilancarkan secara global pada 2010, pertandingan ini bertujuan merealisasikan aspirasi “Kirei World” iaitu sebuah dunia harmoni dengan persekitaran yang lebih bersih, indah dan sihat.

Menariknya edisi ke-16 ini mencatatkan sejarah dengan 25,159 penyertaan daripada 31 negara sekali gus merekodkan jumlah tertinggi sejak diperkenalkan.

Malaysia muncul sebagai negara penyumbang terbesar dengan 10,690 karya, merangkumi 42 peratus daripada jumlah keseluruhan global.

Daripada jumlah itu, 95 peratus dihantar oleh pelajar sekolah kebangsaan, manakala selebihnya daripada sekolah seni dan peserta individu.

Angka ini menunjukkan peningkatan luar biasa sebanyak 135 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut jurucakap kumpulan Kao, selain memupuk kreativiti, penyertaan ini turut memberikan mata merit kepada pelajar, sekali gus menyokong perkembangan pendidikan mereka di bawah seliaan KPM.

“Untuk tahun kedua berturut-turut, Kao melaksanakan inisiatif di mana 50 yen Jepun (sekitar RM1.50) disalurkan bagi setiap lukisan yang dihantar sebagai sokongan kepada usaha pemuliharaan.

“Hasilnya, sebanyak 1.258 juta yen Jepun berjaya dikumpul dan akan disalurkan kepada organisasi antarabangsa seperti World Wide Fund for Nature (WWF), OISCA International Green Forest Conservation dan PIRIKA Marine.” menurut kenyataan itu.

Kao Malaysia berharap kerjasama erat bersama KPM dapat diteruskan bagi membentuk generasi muda yang bertanggungjawab terhadap bumi melalui kuasa seni dan kreativiti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top