Lukisan rawat emosi

Lukisan rawat emosi

nurul_husna@hmetro.com.my

KEMARAHAN pada peringkat usia kanak-kanak sehingga remaja perlu ditangani supaya mereka tidak melalui krisis yang teruk apabila meningkat usia lebih dewasa.

Di peringkat remaja umpamanya, kemarahan golongan usia itu perlu diteliti kerana bimbang ia bukan sahaja boleh menjejaskan perilaku malah boleh ‘mencederakan’ mental.

Menurut Kaunselor Profesional, Norazizalina Mohd Najib, ibu bapa perlu menjadi orang paling peka dalam memahami tingkah laku terutama ketika emosi remaja itu dalam keadaan marah supaya dapat ditangani dengan baik.

“Remaja adalah peringkat mula mencari identiti dan mereka ini lebih mudah cenderung mengikuti pengaruh rakan sebaya berbanding ibu bapa.

“Malah remaja tidak dinafikan lebih ketara dalam ekspresi atau tingkah laku menunjukkan kemarahan.

“Mungkin tahap itu berbeza mengikut individu tetapi corak perilaku adalah sama seperti nada tinggi, mengeluarkan kata-kata kesat atau menghentak kaki dan sebagainya.

“Tetapi intensiti pada perilaku contohnya remaja itu marah dan kemarahan ditonjolkan menerusi perbuatan terlalu agresif seperti mencederakan diri dan orang sekeliling, itu memberi makna sudah keterlaluan atau tidak rasional,” katanya.

Memberi contoh pengalaman dirinya ketika mengendali anak remaja yang kemarahan mula memberi kesan buruk.

Dia berkata, kes mengendali kanak-kanak dan remaja menangani isu kemarahan, usia 12 tahun membabitkan kanak-kanak perempuan memberi kesan kepada dirinya.

“Saya masih ingat ketika mengendalikan satu kes membabitkan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dirujuk ibunya kepada saya.

“Kanak-kanak itu bertindak menumbuk dinding kerana ada isu dalaman iaitu dia memendam kemarahan selama ini apabila dimarah oleh ibu kerana adiknya, masalah di sekolah dan banyak lagi.

“Mungkin pada awalnya, anak itu ada mengadu rasa kecewa tetapi tidak dipedulikan. Dia memendam rasa sehinggalah ada sedikit konflik dengan ibunya membuatkan dia hilang pertimbangan lalu menumbuk dinding,” katanya.

Pendekatan Norazizalina atau lebih mesra dengan panggilan Coach Azie, dia menggunakan kaedah terapi seni dan bermain untuk mendekati remaja atau kanak-kanak mengalami isu kemarahan.

“Sudah 11 tahun sebagai kaunselor terlatih dan bidang kepakaran saya ialah remaja dan kanak-kanak, saya mendapati kemarahan itu tidak boleh berdiri sendiri.

“Selalunya dicetuskan oleh senario atau insiden yang pada awalnya membuat dia sedih atau kecewa, lama- kelamaan ‘bergumpal’ menjadi marah.

“Malah selalunya kanak-kanak tidak boleh jelaskan kemarahan secara spesifik tetapi dengan kaedah terapi seni dan bermain, mereka boleh ceritakan punca dan keadaan menyebabkan mereka marah secara semula jadi,” katanya.

Tambah pakar itu lagi, terapi berkenaan membantu kanak-kanak atau remaja lebih tenang.

“Biasanya apabila menggunakan kaedah terapi seni dan bermain, saya sebagai juruterapi atau kaunselor minta mereka menconteng atau melukis.

“Daripada satu bulatan tidak putus atau contengan seperti garisan melengkung, saya akan teliti bahagian mana pada lukisan yang nampak seperti serabut atau ada garisan ‘tajam.’

“Saya akan bertanya kepada kanak-kanak dan remaja itu apa yang mereka rasa ketika melukis bahagian itu.

“Mereka selalunya memberi jawapan. Jawapan itu kemudiannya akan terarah kepada soalan berikutnya mengenai perasaan dan apa yang buat mereka terganggu,” katanya.

Kaedah yang sama digunakan untuk merawat dan biasanya lukisan atau imej kanak-kanak atau remaja yang menjalani terapi bertambah baik.

“Sebenarnya terapi ini selalunya kita minta kerjasama ibu bapa untuk mereka pantau proses ini.

“Pemulihan atau terapi untuk kanak-kanak dan remaja selalunya kita minta komitmen ibu bapa.

“Walaupun perbualan antara klien dan kaunselor menuntut kerahsiaan tetapi ada ketikanya terpaksa dimaklumkan kepada ibu bapa atas faktor keselamatan.

“Contohnya kalau kemarahan itu akibat menjadi mangsa pencabulan atau penderaan, kena maklum ibu bapa untuk tindakan susulan,” katanya.

Kematangan generasi kini atau sikap terbuka ibu bapa juga menjadi faktor golongan itu mudah menunjukkan emosi marah berbanding generasi 20 tahun lalu.

“Segi cara atau perlakuan agresif anak itu sebenarnya sama sahaja. Perbezaan mungkin segi kematangan selain sikap ibu bapa lebih terbuka dengan anak.

“Ibu bapa zaman saya atau 20 tahun lalu, kanak-kanak masih nampak sifat polos keanak-anakan.

“Mereka juga takut dan memiliki rasa hormat tinggi kepada ibu bapa menyebabkan banyak emosi dipendam.

“Berbeza dengan anak masa kini yang tidak takut untuk tunjuk emosi mereka dan cabarannya ialah ibu bapa kena juga bijak mengawal emosi anak dan sendiri,” katanya.

Ibu bapa disarankan tingkatkan kemahiran mereka terutama dalam komunikasi supaya dapat tangani anak yang mudah marah.

“Paling penting dapatkan nasihat pakar dan elak ambil mudah apabila anak menunjukkan emosi mereka terganggu.

“Ibu bapa kena dapatkan apakah keperluan anak atau penghargaan yang mereka mahukan daripada ibu bapa.

“Kemahuan dan kepuasan setiap anak dari segi layanan ibu bapa mungkin berbeza. Ada antara anak mengharapkan pelukan berbanding pemberian hadiah yang mahal.

“Tidak memenuhi jangkaan atau keinginan itu boleh menjadikan kanak-kanak atau remaja itu mudah marah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top