mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuang: Pelakon Uqasha Senrose, 32, menafikan spekulasi rumah tangganya dengan pelakon Kamal Adli sedang menghadapi masalah seperti yang digembar-gemburkan.
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen sebaliknya menjelaskan sudah lumrah setiap pasangan suami isteri akan berdepan cabaran dan ujian dalam rumah tangga.
“Kita semua manusia, jadi dalam rumah tangga semua ada naik dan turunnya. Takkan nak kongsikan semua perkara di media sosial.
‘Selagi tidak sampai ke peringkat serius seperti mahkamah, jadi ia adalah perkara biasa. Bergaduh hal-hal kecil itu perkara normal.
‘Nak kata selalu bahagia pun tidak, nak kata sedih juga tidak. Lagi pula kami baru ada anak dan masing-masing pertama kali mengalaminya,” katanya yang ditemui di lokasi penggambaran Bisikan Dosa di KDH Villa, di sini, semalam.
Uqasya yang membawakan watak Zara dalam Bisikan Dosa berkata, perselisihan kecil biasanya berlaku seperti dia menyuruh suaminya mencuci tangan sebelum memegang anak mereka.
“Ajal, jodoh dan maut di tangan Tuhan. Apabila diuji, sekuat mana kita nak pertahankan itu semua terletak pada diri kita dan pasangan. Semua pasangan Allah uji.
‘Nak bertahan bukan mudah, malah nak dapatkan syurga pun bukan mudah. Susah nak bertahan lagi-lagi dengan mulut orang luar. Apa-apa pun mental kena kuat, terutama apabila saya sudah menjadi seorang ibu.
“Apa pun bukan mudah untuk mempertahankan mahligai cinta yang dibina namun kami akan tetap mencuba yang terbaik,” katanya.
Uqasha menegaskan dia dan Kamal mengamalkan sikap tidak ambil pusing dengan khabar angin terbabit dan bersikap tenang.
“Menjaga emosi adalah lebih penting, perkara kecil sebegini saya tolak tepi terus. Kami hanya ketawa dan bergurau apabila ada yang berkata rumah tangga kami bergolak.
“Kami juga tidak mengambil serius berkenaan hal ini,” katanya tenang dan tidak melatah dengan gosip begini dan mahu fokus dengan wataknya.
Uqasha mendirikan rumah tangga dengan Kamal pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata yang diberi nama Hawra Uqaira.
© New Straits Times Press (M) Bhd




