“Engkau biar betul, Tasha, nak ikut Aziz ke Jepun? Engkau tak nak cari kerja dulu dekat Malaysia? Nanti kalau engkau berdua ada anak, anak-anak engkau ingat Malaysia ke?” Soal Abah, Pak Jamil, sambil mengerutkan dahi. Ada garis-garis bimbang pada wajah tuanya.
Tangan Abah yang kasar diletakkan di atas lutut, tetapi matanya tidak beralih daripada wajahku.
Agaknya Abah mahu mencari kepastian bahawa aku, sebagai anak perempuannya benar-benar tahu ke mana arah hidup yang sedang dipilihnya.
Memuatkan artikel berkaitan…
Aku tersenyum lalu merapatkan duduk di sisinya. Aku tahu, di sebalik pertanyaan itu bukanlah larangan. Itulah bahasa kasih seorang ayah yang tidak pandai menyebut takut, lalu menyembunyikan kegelisahannya di celah-celah pertanyaan.
“Abah janganlah risau sangat,” jawabku perlahan sambil menggenggam tangan tuanya. “Malaysia ke, Jepun ke, atau di mana-mana pun kami tinggal, bumi Allah juga yang kami pijak.
“Kalau agama kami jadikan pegangan utama, insya-Allah kami tidak mudah hanyut. Kalau suatu hari nanti Allah beri saya dengan Aziz anak, pandailah kami menjaganya, Abah.
“Kami akan ajar mereka agama, bahasa kita, asal-usul kita. Jauh mana pun mereka pergi, saya mahu mereka tahu dari tanah mana akar mereka tumbuh.”
Abah diam agak lama. Pandangannya jatuh ke halaman rumah, pada pokok mangga yang pernah ditanamnya ketika aku masih kecil. Daun-daunnya bergerak perlahan ditiup angin petang.
Entah mengapa, pada saat itu wajah Abah kelihatan begitu sugul. Seakan-akan dia sudah dapat membaca perjalanan yang aku sendiri belum mampu melihat penghujungnya.
“Abah bukan takut engkau lupa jalan pulang, Tasha,” katanya akhirnya, suaranya rendah dan berat.
“Abah takut anak-anak engkau nanti tak tahu bahawa mereka ada jalan untuk pulang.”
Kata-kata itu pernah aku sambut dengan senyuman.
Pada usia muda, kita selalu menyangka keyakinan sahaja cukup untuk menakluk jarak. Kita memandang dunia seperti laut yang tenang, sedangkan belum pernah kaki kita menjejak dasarnya.
Kini, 25 tahun telah berlalu.
Abah sudah lama kembali kepada Pencipta. Namun kata-katanya tidak pernah benar-benar mati. Ada suara yang dikuburkan bersama jasad dan ada suara yang terus hidup di dalam dada anak-anaknya.
Suara Abah termasuk yang kedua. Pada petang-petang tertentu, terutama ketika angin musim luruh menyusup dari celah tingkap rumahku di Kanagawa.
Suara itu datang semula. Jernih, dekat, dan menyakitkan dalam cara yang paling lembut.
25 tahun dahulu, aku meninggalkan Malaysia setelah Aziz menerima tawaran bekerja sebagai jurutera automotif di Tokyo.
Ketika itu kami masih muda, sarat dengan cita-cita dan keberanian yang kadang-kadang lebih besar daripada pertimbangan.
Negara Jepun pada fikiranku hanyalah sebuah titik asing pada peta. Negeri kereta api pantas, teknologi, sakura dan manusia yang bahasanya masih kekok pada lidahku.
Aku tidak pernah menyangka titik asing itulah yang akhirnya menjadi tempat empat orang anakku membuka mata buat pertama kali kepada dunia.
Ya, aku kini ibu kepada empat cahaya mata. Keempat-empatnya lahir di Jepun. Tangisan pertama mereka disambut oleh langit negeri orang; kaki kecil mereka mula belajar berlari di taman-taman Kanagawa; lidah mereka membesar di antara bunyi bahasa Jepun di sekolah dengan bahasa Melayu yang kami pertahankan di rumah.
Ada waktunya aku mendengar mereka bertukar-tukar bahasa sesama sendiri dengan begitu mudah, lalu hatiku tersentak oleh pertanyaan Abah yang sudah berusia seperempat abad.
“Anak-anak engkau ingat Malaysia ke?”
Sebab itulah sejak awal aku dan Aziz tidak mahu hubungan mereka dengan Malaysia menjadi sekadar cerita tentang sebuah negara tempat ibu dan ayah mereka dilahirkan.
Malaysia mesti hidup dalam diri mereka. Pada bahasa yang kami gunakan di meja makan. Pada doa yang dibaca sebelum menjamah nasi. Pada sambal yang Aziz cari apabila rindu kampung datang menggigit. Pada baju Melayu dan kurung yang kami keluarkan menjelang Syawal.
Pada nama datuk dan nenek yang kusebut berulang-ulang supaya wajah-wajah di tanah air tidak berubah menjadi orang asing dalam ingatan mereka.
Soal kewarganegaraan juga bukan perkara yang pernah kami pandang ringan. Kami sedar Malaysia pada asasnya tidak mengiktiraf kewarganegaraan berganda bagi warganya.
Maka apabila kehidupan kami berakar begitu lama di Jepun, soal pasport dan kewarganegaraan tidak pernah sekadar menjadi urusan borang dan cop imigresen. Bagi kami, ia turut membawa persoalan tentang identity.
Tentang negara manakah yang mahu terus kami namakan sebagai tanah air? Aku dan Aziz tetap mahu mempertahankan kewarganegaraan Malaysia. Selagi undang-undang dan keadaan mengizinkan, kerana ada perkara yang nilainya tidak dapat dihitung melalui kemudahan hidup semata-mata.
Ada tanah yang walaupun beribu-ribu kilometer jauhnya, tetap terasa paling hampir apabila disebut namanya. Namun, aku juga tidak pernah berlaku tidak adil kepada Jepun.
Negeri ini telah meminjamkan kami sebahagian besar usia. Kanagawa, khususnya, sudah menjadi halaman kedua dalam kitab hidupku. Prefektur pesisir yang terletak di sebelah selatan Tokyo itu mempunyai wajah yang anehnya mampu menyatukan hiruk-pikuk kota dengan ketenangan laut.
Di bahagian timurnya berdiri Yokohama, ibu kota Kanagawa, sebuah kota pelabuhan besar yang menghadap Teluk Tokyo. Bangunan-bangunan moden mencakar langit, kereta api datang dan pergi dengan ketepatan yang hampir menjadi disiplin kehidupan, sementara manusia mengalir melalui stesen-stesennya seperti sungai yang tidak pernah berhenti menuju muara.
Namun Kanagawa bukanlah dikenali sebagai Yokohama semata-mata. Ada Kamakura yang menyimpan kuil-kuil lama dan jejak sejarah; ada Hakone dengan pergunungan dan mata air panasnya; ada pesisir Shonan yang menghadap Teluk Sagami, tempat laut kadang-kadang berkilau seperti kepingan kaca apabila disentuh matahari.
Musim-musim di sini juga mengajar aku bahawa hidup sentiasa berubah wajah.
Musim bunga membawa sakura yang berkembang dengan cantik hanya untuk gugur beberapa hari kemudian. Musim panas datang bersama lembap yang melekat pada kulit.
Musim dingin menelanjangkan dahan-dahan, sementara musim luruh adalah musim yang paling dekat dengan hatiku.
Menyalakan daun-daun dengan merah, jingga dan emas sebelum satu demi satu melepaskan diri daripada ranting. Barangkali kerana itulah, setiap kali musim luruh tiba, aku selalu teringat Abah.
Petang itu, dari jendela rumah, kulihat sehelai daun momiji berwarna merah tua terlepas daripada dahannya. Ia berpusing-pusing dibawa angin sebelum jatuh perlahan ke bumi. Entah mengapa, dadaku tiba-tiba sesak oleh rindu yang sudah berumur dua puluh lima tahun.
Dahulu aku menyangka merantau bererti meninggalkan sesuatu di belakang. Rupa-rupanya tidak. Ada perkara yang kita bawa bersama sejauh mana pun kita pergi.
Nama yang diberikan ibu bapa, bahasa yang mula-mula mengenalkan kita kepada dunia, doa yang diajarkan ketika kecil, bau tanah selepas hujan, dan sebuah tempat yang tetap kita panggil pulang meskipun rumah kita sudah lama berdiri di negeri orang.
“Abah,” bisikku kepada petang Kanagawa, sedangkan aku tahu tanah kuburnya begitu jauh di Malaysia, “anak-anak Tasha masih tahu jalan pulang.”
Angin musim luruh menyentuh pipiku seperti telapak tangan tua yang datang dari sebuah masa yang tidak mungkin dapat kuulangi.
Dan pada saat itu, di bawah langit Kanagawa yang perlahan-lahan kehilangan cahaya, luruhlah sesuatu dari kalbuku. Bukan kasih kepada negeri yang telah menampung hidup kami selama seperempat abad. Sebaliknya kesombongan seorang anak yang dahulu menyangka dia sudah memahami segala-galanya tentang akar, tanah dan kepulangan.
Sepanjang 25 tahun di Jepun, aku mengenali beberapa keluarga Malaysia yang akhirnya menjadikan bahasa Jepun sebagai bahasa utama di rumah. Bahasa Melayu perlahan-lahan tersisih sehingga anak-anak mereka tidak memahami sepatah pun bahasa ibunda ibu bapa sendiri.
Masakan di rumah juga sepenuhnya bercita rasa Jepun. Aku tidak menyalahkan mereka; hidup di tanah asing memang menuntut penyesuaian.
Namun, setiap kali melihatnya, ada sesuatu yang mengusik hati. Bahasa bukan sekadar alat bicara. Bahasa ialah rumah bagi ingatan. Apabila bahasa hilang, kadang-kadang jalan menuju akar sendiri turut menjadi samar.
Hal itu paling kurasakan apabila Syawal tiba. Rumah kami di Kanagawa akan dipenuhi harum rendang, ketupat, kuah kacang dan serunding.
Lagu raya lama berkumandang, sementara anak-anak membantu menyusun hidangan. Untuk sehari, rumah kecil kami seolah-olah menjadi sekeping tanah Malaysia yang terapung jauh di negeri matahari terbit.
Namun, ada anak-anak kenalanku yang langsung tidak menjamah hidangan itu.
“Dia tak biasa makanan macam ini, Kak Tasha. Dari kecil makan makanan Jepun,” jelas seorang ibu kepadaku sambil mengeluarkan bekal anaknya.
Dibukanya sebuah bento atau sebuah kotak makanan berpetak-petak berisi nasi putih, tamagoyaki, sayuran dan lauk yang disusun rapi.
Aku mempersilakan anak itu makan, tetapi ketika melihat bento tersebut terletak di sebelah rendang dan ketupat, terasa seakan dua buah tanah air sedang duduk bersebelahan di atas meja yang sama.
Aku tidak menyalahkan si anak. Lidah seorang anak mengenal apa yang diperkenalkan kepadanya, sebagaimana mulutnya menuturkan bahasa yang diwariskan kepadanya. Barangkali asimilasi memang begitu; ia tidak datang merampas segalanya dalam sehari.
Ketika itulah pertanyaan arwah Abah kembali menikam ingatanku.
“Anak-anak engkau ingat Malaysia ke?”
Rupa-rupanya Abah tidak bertanya tentang geografi. Abah bertanya tentang ingatan.
Sebab itulah aku dan Aziz mahu anak-anak kami mengenal kedua-dua dunia. Mereka fasih berbahasa Jepun, memahami adat masyarakat yang membesarkan mereka dan menyayangi bumi tempat mereka dilahirkan.
Namun, di rumah, aku tetap mahu mereka mengenal perkataan pulang, bukan sekadar kaeru. Aku mahu mereka mampu berbicara dengan saudara-mara di Malaysia tanpa aku menjadi jurubahasa kepada darah mereka sendiri.
Kami juga tetap mempertahankan kewarganegaraan Malaysia. Pasport merah yang berada dalam kelompok pasport paling berkuasa di dunia itu bagiku bukan sekadar dokumen untuk melintasi sempadan.
Sebaliknya passport Malaysia itulah yang membawa nama sebuah pertiwi yang dahulu kutinggalkan untuk mengejar kehidupan, tetapi semakin jauh aku pergi, semakin dekat pula tanah itu tumbuh di dalam dada.
Aku memandang ke luar jendela. Daun-daun momiji sedang berguguran di halaman rumah kami di Kanagawa. Sebatang pohon boleh kehilangan seluruh daunnya apabila musim berubah, tetapi selagi akarnya masih mencengkam bumi, musim bunga akan tahu ke mana harus kembali.
Tiba-tiba wajah Abah menjelma dalam ingatan.
“Abah bukan takut engkau lupa jalan pulang, Tasha,” katanya 25 tahun dahulu. “Abah takut anak-anak engkau nanti tak tahu bahawa mereka ada jalan untuk pulang.”
Kini aku mengerti. Menjadi warga dunia tidak bererti menjadi manusia tanpa akar. Aku boleh mencintai Jepun yang menaungi sebahagian besar usiaku tanpa perlu melupakan Malaysia yang mula-mula mengajar hatiku erti tanah air.
Aku Tasha, anak watan Malaysia. Dan aku bangga akan akar itu.
Sehelai momiji merah terlerai dari ranting lalu berpusing-pusing di hadapan jendelaku sebelum mencecah bumi.
Lantas aku mengikutinya dengan mata berkaca. 25 tahun lalu, aku menyangka akulah daun yang berani meninggalkan pohon untuk mengejar angin.
Kini baru aku sedar, sejauh mana pun daun dibawa musim, pohon asalnya tetap hidup dalam urat.
Di Kanagawa, daun itu luruh. Dan bersama-samanya, luruhlah kalbuku. Akhirnya tunduk memahami pesan seorang ayah tentang akar, tanah air dan jalan pulang.-UTUSAN




