PRN Melaka: Ridhwan mahu aktifkan semula stadium mini, bina masjid baharu di Ayer Molek

PRN Melaka: Ridhwan mahu aktifkan semula stadium mini, bina masjid baharu di Ayer Molek

Melaka: Usaha mengaktifkan semula Stadium Mini Ayer Molek dan mewujudkan hab sukan komuniti menjadi antara agenda utama calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Beliau berkata, cadangan itu susulan permintaan golongan belia yang mahukan kemudahan sukan dan rekreasi lebih lengkap, selain ruang untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

Katanya, kekurangan kemudahan sedemikian menyebabkan anak muda di kawasan itu terpaksa bergerak ke lokasi lain untuk menjalankan aktiviti sukan secara berkumpulan.

“Bila saya turun bertemu mereka sebenarnya menginginkan satu fasiliti hub sukan dan juga tempat untuk berkumpul sambil beriadah dalam jumlah yang ramai.

“Ada satu kawasan yang sering mereka sebut iaitu kawasan Stadium Mini Ayer Molek. Itu satu kawasan yang dulu kerajaan sediakan, tapi tempat itu perlu diaktifkan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program saringan kesihatan bersama penduduk dan jentera parti di Taman Paya Dalam, Ayer Molek, hari ini.

Mohd Ridhwan berkata, keperluan pembinaan sebuah masjid baharu di Ayer Molek juga menjadi antara perkara diberi perhatian olehnya susulan kapasiti dua masjid sedia ada yang didakwa semakin terhad.

“Permintaan daripada penduduk berkaitan masjid kerana di sini penduduk Melayunya tinggi dengan peratusan hampir 89 peratus.

“Ada dua masjid yang kapasitinya sudah penuh dan tiada lagi ruang untuk pembesaran. Maka, cadangan untuk adakan masjid baharu agak mendesak,” katanya.

Dalam saingan satu lawan satu di kerusi DUN Ayer Molek, Ridhwan yang juga antara calon muda BN bakal dicabar oleh calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka, Muhammad Hakimin Mokhtar.

Untuk rekod, Mohd Ridhwan sebelum ini pernah tampil pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Hang Tuah Jaya namun tewas kepada Adam Adli manakala Muhammad Hakimin adalah muka baharu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top