KOTA MELAKA – Barisan Nasional (BN) Melaka tidak akan menjadikan kehadiran ribuan penyokong pada program parti sebagai ukuran kemenangan, sebaliknya memilih untuk terus bekerja keras dan mendekati rakyat menerusi kempen berhemah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, jentera parti perlu memberi tumpuan kepada penyampaian rekod pencapaian kerajaan negeri sepanjang lima tahun mentadbir negeri.
“Saya menyarankan supaya kita berkempen secara berhemah. BN Melaka tidak menyebarkan politik kebencian, hasutan, perkara jahat atau fitnah.
“Biar orang lain buat, kita hanya bercerita apa yang telah dilaksanakan untuk rakyat dan apa yang rakyat dapat sepanjang kita menguruskan negeri selama lima tahun,” katanya ketika ditemui ketika melawat Bilik Gerakan BN Telok Mas di Bukit Rambai di sini pada Ahad.

Ab Rauf (kanan) bertemu calon DUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman ketika melawat Bilik Gerakan DUN itu pada Ahad.
Ab Rauf berkata, ukuran utama kekuatan BN adalah usaha bekerja lebih keras, tersusun dan terancang bagi memastikan kepercayaan rakyat dapat diterjemahkan kepada mandat pada hari pengundian tidak lama lagi.
Beliau berkata, pendekatan kerajaan negeri yang melaksanakan kerja lebih awal juga bertujuan memastikan rakyat tidak hanya didekati atau diberikan perhatian ketika tempoh berkempen.
“Apabila saya memilih calon untuk menjadi wakil rakyat, perkara pertama ialah wakil rakyat itu mesti menjadi rakyat.
“Dia perlu tahu masalah dan keperluan rakyat sebelum digariskan sebagai dasar yang boleh dilaksanakan kerajaan pada masa depan,” katanya.
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara itu berkata, program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang dilaksanakan berjaya mengenal pasti masalah masyarakat dan menyelesaikan 75 peratus daripada kira-kira 4,800 aduan yang diterima.
Sementara itu, mengulas dakwaan bekas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Datuk Seri Adly Zahari yang mempersoalkan prestasi pentadbiran BN Melaka, Ab Rauf mengambil pendekatan enggan mengulas lanjut.
Beliau berkata, setiap pihak wajar menilai pencapaian dan sumbangan kepada rakyat tanpa perlu mempertikaikan pentadbiran terdahulu.
“Saya tak tahu dari sudut mana beliau mendapatkan dapatan tersebut namun, saya tidak mahu mengulas kerana beliau juga pernah menjadi Ketua Menteri Melaka dan saya tidak mahu mengulas apa yang dilakukan ketika beliau menjadi Ketua Menteri.
“Lebih baik kita cerminkan diri dan lihat apa yang telah kita lakukan untuk rakyat. Saya rasa orang Melaka tahu apa yang kita buat,” katanya.



