puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Memang sedih sebab baru saja berjumpa dengannya tiga hari lalu. Keadaan dia (Allahyarham Johan Aziz) ketika itu memang sudah lemah dan sangat teruk,” kata gitaris kumpulan Slam, Shah.
Shah atau nama sebenarnya Shah Nizam Abdul Halim, 52, meluahkan rasa sedih atas pemergian bekas pengurus kumpulan Slam, Johan Aziz yang disifatkannya sebagai seorang pejuang dalam melawan penyakit kanser dihidapinya sejak bertahun-tahun lalu.
“Kita tahu arwah sudah berapa banyak kali menjalani rawatan kemoterapi, sampai lebih 80 kali. Jadi benda itu memang sangat menyedihkan.
“Sedih itu bukannya baru tahu pasal pemergian arwah, tapi sedih dengan keadaan dirinya yang begitu ‘struggle’ dengan penyakit kanser selama bertahun-tahun ini,” katanya kepada Harian Metro.
Shah berkata, pesanan terakhir yang ditinggalkan Allahyarham kepadanya adalah untuk terus menziarahinya.
“Tapi itulah, sudah sampai masa untuk dia pergi. Kali terakhir jumpa arwah Johan tiga hari lepas. Pesanan terakhir arwah Johan ada cakap untuk minta saya datang lagi menziarahinya,” katanya lagi.
Terdahulu, Allahyarham Johan menghembuskan nafas terakhir pada usia 61 tahun di kediamannya Taman Kosas, Ampang Jaya, Selangor, pada jam 12.20 tengah hari tadi.
Berita duka berkenaan dikongsikan oleh anak kedua Allahyarham, Nurul Halimahtul Saadiah Mohd Johan.
Menurut Halimahtul, arwah bapanya kini berada di Surau Fatimah Az-Zahra’, Ampang untuk dimandikan dan disolatkan.
Jenazah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang selepas solat Asar.
Allahyarham yang pernah berjasa menaikkan nama Slam disahkan menghidap kanser usus pada 2018, diikuti kanser tulang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




