Umat Islam yang pernah termakan ayam tidak halal tanpa mengetahui status sebenar makanan berkenaan tidak menanggung dosa, meskipun telah memakannya berulang kali dalam tempoh yang panjang.
Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, mereka juga tidak diwajibkan membayar kaffarah, menggantikan makanan yang telah dimakan atau melakukan amalan tertentu untuk menyucikan diri.
Penjelasan itu dibuat susulan pendedahan rampasan kira-kira 6.5 tan ayam yang disyaki tidak disembelih mengikut hukum syarak, termasuk dakwaan ayam berkenaan mati sebelum proses sembelihan.
Menurut beliau, umat Islam tidak perlu bimbang bahawa seluruh tubuh menjadi haram atau ibadah terdahulu terbatal hanya kerana pernah memakan makanan tidak halal tanpa pengetahuan.
“Namun, selepas mengetahui dan mendapat pengesahan sesuatu bekalan ayam tidak halal, umat Islam wajib berhenti daripada memakannya.
“Pada masa sama, masyarakat tidak seharusnya terus membuat kesimpulan semua ayam yang pernah diproses oleh premis itu sepanjang tempoh operasinya adalah bangkai.
“Perkara itu perlu dibuktikan menerusi siasatan pihak berkuasa dan masyarakat juga diingatkan supaya tidak terlalu was-was terhadap makanan yang sudah dimakan pada masa lalu,” katanya.
![]()
Kredit Foto: FB Politeknik Balik Pulau
Mohd Sukki menjelaskan, ayam yang mati akibat rendaman air panas atau renjatan elektrik sebelum disembelih dikategorikan sebagai bangkai dan haram dimakan, walaupun lehernya dipotong selepas itu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Islam tidak membebankan seseorang untuk menyiasat semula setiap makanan yang pernah dimakan, terutama apabila diperoleh daripada sumber yang pada zahirnya dipercayai halal.
“Kejadian itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua supaya lebih berhati-hati dalam memilih sumber makanan, khususnya ayam dan daging.
“Utamakan pembelian daripada pembekal yang mempunyai pensijilan halal sah dan sumber bekalan yang jelas. Jangan hanya bergantung kepada pengakuan penjual atau menganggap sesuatu makanan pasti halal semata-mata kerana pemilik premis beragama Islam,”ujar beliau.
Kredit Foto: NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Beliau turut mengingatkan pemilik restoran dan peniaga makanan supaya memastikan bekalan ayam yang digunakan benar-benar mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak.
Sumber: Harian Metro




