Bagi anak-anak yang membesar hari ini, media sosial bukan sesuatu yang asing. Mereka melihat TikTok, Instagram dan pelbagai platform lain digunakan setiap hari oleh rakan sebaya, ibu bapa dan ahli keluarga sendiri.
Lantaran itu, apabila seorang anak mula meminta untuk mempunyai akaun media sosial sendiri, permintaan itu mungkin kedengaran biasa. Lebih-lebih lagi apabila mereka sudah mempunyai telefon dan melihat rakan-rakan lain bebas menggunakannya.
Namun, tahu menggunakan telefon dan aplikasi tidak semestinya bermakna seorang anak sudah bersedia menghadapi segala yang menunggu mereka dalam media sosial.
Perunding Keselamatan Dan Pertahanan Diri Akademi KickStart, Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir berkata, antara perkara yang sering ditemuinya ketika berurusan dengan sekolah, ibu bapa serta kanak-kanak ialah sifat ingin tahu yang tinggi dalam kalangan mereka yang masih muda.
“Untuk bawah umur 16 tahun ini, kerap kali mereka nak tahu apa yang tidak diberitahu oleh ibu bapa ataupun tidak diberitahu di sekolah oleh cikgu. Jadi mereka mendapatkan sumber itu daripada media sosial,” katanya kepada RotiKaya.
Masalahnya, apabila media sosial menjadi tempat mencari jawapan dan pada masa sama ruang untuk bersosial, kanak-kanak juga boleh bertemu individu yang mengambil kesempatan terhadap sifat ingin tahu dan kenaifan mereka.
“Sebenarnya kita berhadapan dengan pelbagai kes apabila anak-anak bawah 16 tahun menggunakan media sosial sebagai platform untuk bersosial tanpa pengetahuan ibu bapa dan akhirnya terjerumus kepada perkara-perkara negatif, termasuk dipujuk, digroom atau melalui pengantunan dalam isu seksual,” katanya.
Pengalaman Saiful Hamiruzzaman mengendalikan kes sebegini menunjukkan akibatnya kadangkala jauh lebih serius daripada apa yang mungkin dibayangkan ibu bapa.
Ada kanak-kanak yang sanggup berkongsi malah menjual gambar atau video peribadi tidak senonoh kepada individu tidak dikenali yang ditemui dalam talian.

Kebimbangan itu turut dapat dilihat melalui operasi penguatkuasaan bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak 2024.
Secara keseluruhan, empat operasi berkenaan merekodkan 117 tangkapan di 162 lokasi, dengan lebih 1.47 juta fail digital ditemukan.
Dalam Op Cyber Guardian 2026 sahaja, sebanyak 498,694 fail digital ditemukan, dengan 204,934 daripadanya disahkan sebagai bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).
Sementara itu, Ops Pedo 2.0 pada September 2025 membawa kepada penahanan 31 individu, termasuk enam kanak-kanak, serta penemuan lebih 880,000 fail digital melibatkan CSAM dan pornografi dewasa.
“Eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak sangat-sangat kritikal apabila melibatkan platform media sosial,” kata Saiful Hamiruzzaman.
Namun, satu lagi perkara yang perlu difahami ibu bapa ialah anak yang mereka kenali di rumah tidak semestinya menunjukkan sisi yang sama apabila berada dalam talian.
“Bila kita kendalikan kes-kes, mak ayah kata, ‘Anak saya tak buat ni. Anak saya baik.’ Tapi bila kita tengok apa yang dia berinteraksi, mesej-mesej atau apa yang dia cari dalam talian, dalam internet, ia di luar jangkaan kita,” katanya.
Keadaan itu menjadikan tempoh sebelum anak memiliki media sosial sendiri penting untuk digunakan oleh ibu bapa bagi menyediakan mereka menghadapi dunia tersebut.
Ia bukan sekadar mengajar cara menjaga kata laluan atau maklumat peribadi, tetapi juga mengenali risiko, memahami batas dan tahu apa yang perlu dilakukan apabila berhadapan sesuatu yang mencurigakan.
Sejak 1 Jun 2026, platform media sosial berlesen yang tertakluk kepada Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) diwajibkan memastikan hanya pengguna berusia 16 tahun dan ke atas dibenarkan mendaftar akaun. Bagi pengguna sedia ada, pengesahan umur dilaksanakan secara berperingkat.
Namun, mencapai usia 16 tahun tidak bermaksud seseorang remaja secara automatik mempunyai kematangan untuk menghadapi semua situasi dalam talian.
“Pada saya, kematangan ni bukan cerita pasal usia, tapi macam mana seseorang anak itu dibesarkan,” kata Saiful Hamiruzzaman.
Justeru, tempoh sebelum usia 16 tahun boleh menjadi ruang untuk ibu bapa berbual dengan anak mengenai media sosial, termasuk perkara yang mungkin sukar dibincangkan.

Anak perlu tahu bahawa orang yang kelihatan baik dalam talian belum tentu mempunyai niat yang baik, gambar yang dihantar mungkin tersebar dan kesilapan yang dilakukan tidak seharusnya menyebabkan mereka takut mendapatkan bantuan.
“Sebab itu peranan ibu bapa sangat penting untuk memantau. Sekarang pun banyak parenting apps yang ditawarkan di internet. Mak ayah kena ambil berat hari ini, jangan ambil mudah,” katanya.
Saiful Hamiruzzaman berpandangan tanggungjawab itu juga tidak boleh diletakkan kepada ibu bapa semata-mata kerana sekolah dan masyarakat mempunyai peranan dalam membimbing generasi yang sejak kecil sudah dikelilingi teknologi.
“Kita tak boleh nak halang mereka, tetapi pihak sekolah, ibu bapa, masyarakat dan komuniti kena bantu untuk bimbing mereka,” katanya.
Sehubungan itu, menunggu sehingga usia 16 tahun bukan sekadar menangguhkan masa seorang anak membuka akaun media sosial.
Tempoh sebelum itu boleh digunakan untuk mempersiapkan mereka supaya apabila akhirnya memasuki dunia tersebut sendiri, mereka bukan sahaja tahu menggunakannya, tetapi lebih penting, tahu bagaimana hendak menjaga diri.
KREDIT GAMBAR: JANAAN AI




