Mabuk lepas rai tahun baharu, 2 lelaki ditahan

Mabuk lepas rai tahun baharu, 2 lelaki ditahan

hafidzul@hmetro.com.my

Ampang Jaya: Dua lelaki memandu dalam keadaan mabuk selepas meraikan sambutan tahun baharu ditahan dalam Op Ambang Tahun Baharu di sini, semalam.

Kedua individu warga tempatan berusia antara 30 tahun hingga 40 tahun mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan.

Ujian nafas yang dijalankan terhadap kedua-dua pemandu itu kemudiannya mendapati tahap kandungan alkohol dalam darah melebihi had yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, operasi ambang Tahun Baharu ini membabitkan Op Motosikal, Op Mabuk dan Op Samseng Jalanan di beberapa kawasan antaranya Jalan Susur Taman Kencana, Jalan Putra dan Jalan Ampang, Bukit Saujana.

Beliau berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bermula jam 9.30 malam hingga jam 5 pagi.

“Seramai 193 individu dan 193 kenderaan diperiksa dalam operasi ini, selain itu sebanyak 208 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai jenis kesalahan.

“Tiada lesen memandu merekodkan antara kesalahan tertinggi dikesan selain kesalahan lain seperti ubah suai ekzos, cukai jalan tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan pelbagai kesalahan lain,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurutnya, sitaan turut dijalankan membabitkan 36 kenderaan atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 64(1) dan Seksyen 6(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kenderaan yang disita ini didapati telah diubah suai pada bahagian ekzos dan ada juga kenderaan yang dipandu warga asing, kesemua kenderaan disita di bawa ke Balai Polis Trafik Ampang untuk tindakan lanjut.

“Selain itu, operasi sama turut menahan tiga individu termasuk seorang lelaki bagi kesalahan waran tangkap saman,” katanya.

Menurutnya, operasi sama turut menahan dua lelaki yang didapati memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan mengikut peruntukan Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Merujuk kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987, mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen ini boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

“Individu terbabit juga boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM 10,000 dan tidak melebihi daripada RM 30,000, serta lesen memandu akan digantung selama tempoh tidak melebihi dua tahun,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top