rencana@hmetro.com.my
Siapa sangka tumbuh-tumbuhan, herba dan bunga yang gugur bertaburan di tanah dan dianggap ‘sampah’ segelintir orang boleh menjadi aksesori hiasan yang mampu menaikkan seri di kediaman.
Itu yang cuba dibuktikan Pengasas Attitude Planet Art (APA) Fauzi Ab Majid dalam menginovasikan potpuri sebagai aksesori hiasan untuk melengkapkan dekorasi ruang kediaman. Selain turut berperanan sebagai bahan pewangi.
Potpuri antara bahan berasaskan alam semula jadi itu dikeringkan dan dititiskan pewangi.
Tidak seperti potpuri yang biasanya menggunakan konsep pakai buang, Fauzi cenderung menghasilkan produk yang boleh dijadikan sebagai dekorasi hiasan unik di dalam kediaman.
Fauzi dilihat begitu kreativiti menghasilkan potpuri pelbagai bentuk bunga bagaikan bunga segar sehingga berjaya menarik perhatian peminatnya.
Katanya, untuk menghasilkan potpuri dia hanya memerlukan sumber mudah dan boleh didapati di sekeliling kediamannya seperti buah pinang, ranting kayu, akar pandan, akar mengkuang dan akar bayam.
“Bahan-bahan itu mudah diperoleh dan sedikit sebanyak dapat memberi inspirasi kepada orang luar untuk menghasilkan potpuri mereka sendiri.
“Saya juga lebih gemar mencipta sesuatu yang bertemakan keceriaan di dalam seni dekorasi potpuri ini,” katanya.
Malah Fauzi juga cenderung menggunakan warna yang lebih menyerlah seperti merah, kuning dan hijau yang dapat dilihat berupaya menaikkan seri ruang dan ‘mood’ penghuninya. Selain itu, pewarna mengkuang dan batik turut digunakan.
“Saya enggan menggunakan warna daripada cat atau bahan yang mengandungi kimia kerana boleh menghilangkan fungsi seni,” katanya.
Katanya, salah satu elemen penting lain bagi penghasilan potpuri adalah wangiannya yang dapat memberi ketenangan dan keselesaan.
Untuk itu, Fauzi cenderung menggunakan cecair pewangi yang boleh didapati di kedai tempatan.
“Sebenarnya pewangi boleh dihasilkan sendiri dengan menggunakan kulit kayu manis namun prosesnya akan mengambil masa yang lama.
“Jadi, bagi menjimatkan masa, saya memutuskan untuk beli sahaja pewangi dari kedai pengantin atau secara dalam talian” katanya.
Berkongsi berkenaan tip penjagaan potpuri itu, ia lebih sesuai diletakkan di tempat yang redup untuk mengelakkan warnanya pudar.
“Selain itu, untuk membersihkan habuk, anda boleh menggunakan berus dan vakum,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




