Pelakon Norish Karman kesal apabila ada yang menuduh mereka sekeluarga menipu demi meraih simpati hanya kerana orang melihat kehidupannya disangka mewah.
Menerusi sesi siaran langsung bersama usahawan Datuk Seri Aliff Syukri semalam, Norish berkata kehidupan mereka sekeluarga diuji selepas Covid-19 sehingga hilang peluang pekerjaan.
BACA: Bergelar Anak Datuk, Bapa Saya Dah Tiada Wang & Sedang Uzur – Anak Norish Karman
“Kehidupan kami berubah sepenuhnya selepas fasa Covid-19. Perniagaan saya terpaksa ditutup. Sebagai ibu tunggal, saya diuji dengan tanggungjawab menjaga anak-anak.
“Saya juga diuji dengan masalah kewangan dan kehilangan peluang pekerjaan dalam bidang lakonan disebabkan sudah berhijab.
“Tapi ada yang tak percaya, kata saya menipu sakit, sedangkan ini adalah ujian sebenar yang saya lalui. Orang lihat saya seperti hidup senang, hakikatnya tidak,” katanya.
Sementara itu, Norisha berkata dia pernah meminjam wang dengan orang lain berikutan banyak bil tertunggak sehingga hampir dihalau rumah kerana tidak mampu membayar sewa.
“Rumah saya sudah lama tidak berbayar dan hampir kena halau, bil elektrik juga tertunggak. Semua ini berlaku apabila saya sakit dan ekonomi keluarga merundum.
“Terdapat juga pihak yang bertanya kenapa tidak meminta bantuan daripada bekas suami? Dia juga uzur dan kini berusia 78 tahun.
“Kami juga pernah meminjam wang orang lain. Kadang-kadang orang kata nak bantu, tetapi apabila berlaku perselisihan, wang itu diminta semula dan akhirnya menjadi hutang,” katanya.
Bukan itu saja, ada yang memandang negatif serta mempersoalkan berikutan dia mempunyai keluarga besar selepas mengambil beberapa anak angkat.
“Ada yang mengata, sudahlah janda, anak pula ramai. Mereka kata ‘padan muka, siapa suruh bela anak ramai’. Macam-macam orang cakap,” katanya.
Tambah Norish lagi, ada pihak tidak peraya mereka hidup susah serta mempersoalkan adakah mereka perlu memakai pakaian koyak agar orang percaya hidup dalam kesusahan.
“Ada orang tidak percaya kami hidup berhutang kerana wajah kami seperti orang berada. Tetapi saya bersyukur, apabila orang berkata begitu, bermakna Allah masih menutup aib kami. Perlukah kami memakai pakaian koyak untuk orang percaya yang kami sedang susah?
“Apabila kita melihat orang lain diuji, sebenarnya itu juga ujian untuk kita. Sebagai ibu tunggal, saya memilih jalan halal walaupun banyak rintangan. Saya hanya lakukan apa yang mampu. Jika ada peluang berlakon, menyanyi atau mengacara, saya akan teruskan,” katanya.
Sumber: HibGlam




