Penjawat awam dilarang guna aplikasi Waze

Penjawat awam dilarang guna aplikasi Waze

PUTRAJAYA: Semua penjawat awam dila­rang menggunakan aplikasi navigasi Waze berkuatkuasa serta-merta susulan kebimbangan terhadap keselamatan maklumat rakyat memandangkan aplikasi itu didakwa bergantung kepada undang-undang kerajaan Israel. 

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, langkah tersebut bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelasnya, keputusan itu mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd. selaku pengawal data pengguna yang beroperasi di bawah undang-undang Israel. 

“Maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi rakyat mesti dilindungi daripada diperalat rejim Israel hingga menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara.

“Pada masa sama, Perdana Menteri menyarankan seluruh rakyat Malaysia supaya turut berhenti menggunakan aplikasi Waze dan beralih kepada aplikasi alternatif tempatan seperti TuJu.

“Ia dengan mengambil kira jaminan keselamatan serta perlindungan data peribadi yang ditawarkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, pendirian kerajaan itu adalah tegas dan kerajaan akan menutup sebarang ruang yang boleh dimanfaatkan oleh rejim Israel untuk mengancam keselamatan negara dan rakyat.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan hendaklah memastikan keputusan itu dimaklumkan kepada semua pegawai di bawah seliaan masing-masing termasuk agensi dan jabatan berkaitan untuk dilaksanakan segera. 

“Kerjasama dan perhatian serius bagi memastikan keputusan ini dipatuhi secara menyeluruh di peringkat kementerian, jabatan dan agensi masing-masing adalah amat dihargai,” katanya menerusi surat edaran kepada semua ketua jabatan. 

Shamsul Azri berkata, sebarang pertanyaan atau keperluan penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan arahan ini boleh dikemukakan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku agensi penyelaras bagi tindakan itu. 

Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, larangan penggunaan Waze itu membuktikan ketegasan kerajaan terhadap campur tangan asing Israel.

Katanya memastikan keselamatan data dan maklumat negara tidak terdedah kepada pihak luar, khususnya apabila melibatkan aplikasi digital yang tertakluk kepada bidang kuasa negara asing.

Katanya, penilaian tidak seharusnya terhad kepada Waze, sebaliknya perlu meliputi aplikasi navigasi, komunikasi, penyimpanan awan, kecerdasan buatan dan platform maklumat sensitif.

Katanya, semua aplikasi perlu dinilai menggunakan kriteria yang konsisten, termasuk pengendalian data, perkongsian maklumat, pemilikan dan bidang kuasa undang-undang, tanpa mengira negara.

“Kerajaan juga perlu menyediakan panduan jelas mengenai aplikasi yang dibenarkan dan maklumat yang boleh dikongsi, selain menyediakan alternatif yang selamat serta mengukuhkan pembangunan teknologi tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Penyelidik Kanan Pusat Keselamatan Siber dan Perisikan Data Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof.Madya Dr. Zubaile Abdullah berkata, larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam perlu disusuli dengan penilaian keselamatan terhadap aplikasi lain termasuk aplikasi kecergasan dan kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, aplikasi Waze mengumpulkan maklumat lokasi, laluan dan masa perjalanan yang boleh menggambarkan rutin seseorang. 

“Kebocoran data boleh berlaku ketika aplikasi tidak digunakan dan ia bergantung pada tetapan telefon,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top