Birmingham, United Kingdom: Aston Villa meneruskan permulaan sempurna dalam Liga Juara-Juara Eropah selepas menewaskan kelab Norway, Viking, 3-1, awal pagi tadi sekali gus mengukuhkan peluang mereka untuk menamatkan fasa liga dalam kelompok lapan teratas.
Ross Barkley meletakkan tuan rumah di depan pada pertengahan babak pertama sebelum Emiliano Buendia menyempurnakan sepakan penalti untuk menggandakan kelebihan Villa di Villa Park.
Gol sendiri Henrik Heggheim sejurus selepas sejam permainan menjadikan kedudukan hampir selamat buat Villa, meskipun pasukan pelawat berjaya mendapatkan gol saguhati pada penghujung perlawanan.
“Kami bermain dengan sangat selamat. Pada babak pertama, kami mendominasi dan berasa selesa.
“Babak kedua kami bermula tidak seperti babak pertama dan memberikan mereka beberapa sepakan sudut. Tetapi secara keseluruhan dalam tempoh 90 minit, kami lebih baik dan lebih banyak mendominasi.
“Kami sangat gembira kerana berjaya mendapatkan tiga mata,” kata pengendali Villa, Unai Emery, kepada TNT Sports.
Pasukan baharu kendalian Emery itu kini memenangi kesemua tiga perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas Club Brugge dan membelasah Fenerbahce 6-0.
Peningkatan prestasi dalam Liga Perdana Inggeris turut menyaksikan Villa memenangi lima daripada enam perlawanan dalam semua pertandingan, satu perubahan ketara selepas permulaan musim yang kurang memberangsangkan.
Viking sebelum ini seri 3-3 dengan juara Eropah enam kali, Bayern Munich, minggu lalu, namun Villa menguasai permainan sejak wisel permulaan di Villa Park.
Nicolas Jackson mempunyai dua peluang tandukan percuma, namun kedua-duanya disambut mudah oleh penjaga gol Viking, Arild Ostbo.
Villa membuka jaringan pada minit ke-23 apabila pemain tengah Barkley melonjak tinggi untuk menanduk masuk sepakan sudut Ibrahim Mbaye.
Villa menggandakan kelebihan menerusi sepakan penalti pada minit ke-37 selepas Zlatko Tripic dihukum kerana mengasari Alysson susulan semakan VAR. Buendia tampil mengambil sepakan itu dan tenang menyepak bola menewaskan Ostbo.
Viking memulakan babak kedua dengan lebih bertenaga dan memaksa Villa bertahan, namun Alysson hampir menambah gol ketiga buat tuan rumah.
Villa akhirnya memperoleh kelebihan tiga gol apabila Heggheim tertampan percubaan Alysson ke gawang sendiri selepas satu serangan balas pantas.
Peter Christiansen memberikan sedikit kegembiraan kepada penyokong pelawat pada beberapa minit terakhir apabila melepaskan rembatan voli cantik hasil hantaran lintang dari sebelah kanan.
Kemenangan itu meletakkan Villa dalam kedudukan baik untuk menamatkan fasa liga dalam kelompok lapan teratas, yang akan menjamin kelayakan automatik ke pusingan 16 terakhir pertandingan kelab utama Eropah itu.
Villa menikmati musim 2025/26 yang cemerlang apabila menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tempat keempat selain memenangi Liga Europa — trofi utama pertama mereka dalam tempoh 30 tahun.
Emery bagaimanapun berdepan tugas besar untuk membina semula pasukan selepas beberapa pemain berprofil tinggi meninggalkan kelab pada jendela perpindahan musim panas, termasuk Morgan Rogers, Ollie Watkins, Ezri Konsa, Emiliano Martinez, Youri Tielemans dan Lucas Digne.
Namun, skuad baharu kendalian Emery itu semakin menunjukkan keserasian, dibantu beberapa pemain baharu seperti Jackson dan penyerang Switzerland, Johan Manzambi, yang tidak dapat beraksi dalam perlawanan akibat kecederaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




