Munich: Declan Rice muncul wira Arsenal apabila meledak gol penyamaan lewat permainan untuk membantu naib juara musim lalu itu mengikat Bayern Munich 2-2 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.
Arsenal terlebih dahulu di depan menerusi Eberechi Eze pada minit ke-25, namun Bayern bangkit menyamakan kedudukan melalui Alphonso Davies hasil umpanan Harry Kane, sebelum penyerang England itu meletakkan tuan rumah di depan menerusi sepakan penalti pada babak kedua.
Bagaimanapun, Rice memastikan Arsenal pulang dengan satu mata apabila meledak gol penyamaan lapan minit sebelum tamat permainan.
Keputusan itu menyaksikan Arsenal mengumpul tujuh mata selepas tiga perlawanan fasa liga, dua mata mengatasi Bayern.
Arsenal hampir kehilangan Bukayo Saka seawal minit kelapan apabila pemain sayap itu mengalami kecederaan paha dan terpaksa dikeluarkan, namun Eze yang masuk menggantikannya membuka jaringan selepas menerima hantaran Martin Odegaard.
Bayern, yang turun tanpa beberapa tonggak utama termasuk Michael Olise, Joshua Kimmich dan Jamal Musiala, kembali menguasai permainan sebelum Kane merencana gol penyamaan Davies pada minit ke-35.
Kane kemudian meletakkan Bayern di depan menerusi sepakan penalti selepas percubaannya terkena tangan Jurrien Timber, sekali gus meneruskan rekod jaringan dalam 10 perlawanan berturut-turut Liga Juara-Juara.
Namun, Arsenal enggan mengalah apabila pemain gantian Viktor Gyokeres melorongkan hantaran kepada Rice yang menyudahkan peluang itu untuk mengikat kedudukan 2-2.
Rice berkata, Arsenal tidak turun ke Munich sekadar bertahan dan mengharapkan serangan balas, sebaliknya mahu menyaingi Bayern di setiap bahagian padang.
“Kami mahu bersaing dengan mereka di seluruh padang. Di laman sendiri, Bayern antara pasukan terbaik di Eropah bersama Paris Saint-Germain,” katanya kepada TNT Sports.
Penyerang Arsenal, Kai Havertz pula menyifatkan keputusan seri itu adil buat kedua-dua pasukan, sambil menyatakan pasukannya wajar berbangga dengan persembahan yang ditampilkan di gelanggang lawan.
“Saya rasa kedua-dua pasukan mempamerkan permainan berkualiti tinggi. Kami boleh berbangga dengan persembahan ini, lebih-lebih lagi bukan mudah untuk menyaingi Bayern di gelanggang mereka sendiri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




