Personaliti televisyen dan penyampai radio, Marsila Hassan mendedahkan pengalaman peribadi apabila menjadi mangsa beberapa kenalan rapat yang enggan membayar hutang meskipun berulang kali dituntut.
Menurut penyampai stesen radio Kool 101 ini, pinjaman berjumlah RM100,000 itu dibuat pada April tahun lalu terhadap beberapa individu yang dia kenali untuk membayar gaji pekerja syarikat mereka.
Mereka berjanji untuk melunaskan hutang secara sekaligus atau beransur-ansur selepas tiga bulan, namun perkara itu tidak berlaku.
“Lepas lebih empat lima bulan, baru saya mesej untuk tanya balik tentang hutang. Jawapan mereka cuma ‘nanti’. Walhal, saya pun perlukan duit tu. Akhirnya, selepas didesak banyak kali, barulah mereka bayar sedikit demi sedikit,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Marsila, daripada jumlah keseluruhan pinjaman, hanya RM38,000 sahaja yang sudah dipulangkan, meninggalkan baki sebanyak RM62,000.
“Saya kenal mereka lama, dari segi kewangan memang stabil. Itu sebab saya percaya. Tapi tiba-tiba mereka kata ada masalah kewangan.
“Saya terpaksa minta berulang kali sampai rasa macam mengemis duit sendiri. Ada individu yang dah sekat (block) saya di semua media sosial dan WhatsApp, ada pula bagi alasan macam-macam,” katanya dengan nada kecewa.

Marsila menegaskan, pendedahan ini bukan bertujuan membuka aib, sebaliknya sekadar pengajaran kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati.
“Saya tak dedahkan siapa gerangan mereka kerana masih ada kesabaran. Namun, bila benda macam ni berlaku, kita jadi serik nak percaya orang, walaupun kawan rapat. Saya kongsi cerita ini supaya orang lain tak melalui pengalaman yang sama,” ujarnya.
Marsila berharap agar mereka dapat melunaskan hutang dengan segera dan orang lain dapar mengambil pengajaran daripada kisah yang dia dedahkan.




