MAFE nafi sabotaj filem Anwar: The Untold Story

MAFE nafi sabotaj filem Anwar: The Untold Story

KUALA LUMPUR – Persatuan Pemamer Malaysia (MAFE) yang dianggotai pengendali pawagam di seluruh negara menafikan dakwaan mensabotaj filem Anwar: The Untold Story dengan mengurangkan slot tayangan sejak menemui penonton di 124 pawagam negara pada Khamis lalu.

MAFE dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak pernah meminggirkan mana-mana naskhah tempatan, malah sentiasa memberi sokongan terhadap perkembangan industri perfileman negara.

“MAFE menyangkal dakwaan dibuat secara tidak adil terhadap pemamer pawagam tempatan mengenai keengganan menayangkan filem berkenaan, seterusnya menghalang sasaran kutipan yang disasarkan mereka.

“MAFE memperjuangkan pertumbuhan industri filem tempatan dengan menyokong produksi tempatan termasuk untuk filem Anwar: The Untold Story.

“Slot tayangan lebih banyak tersedia di pawagam yang terletak di pusat bandar,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, produksi filem Anwar: The Untold Story mendakwa sesetengah pawagam cuba mensabotaj tayangan naskhah biopik yang memaparkan kisah jatuh bangun perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Walaupun mencipta sejarah menjadi filem biopik pertama mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan, Khamis lalu, namun jumlah kutipan tidak memenuhi sasaran apabila didakwa tidak mendapat slot tayangan seperti permintaan ramai.

Anwar: The Untold Story dibintangi Farid Kamil yang memegang watak Anwar, manakala aktres popular Indonesia, Acha Septriasa membawa watak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku teraju utama.

Filem arahan pengarah Indonesia, Viva Westi itu berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 ketika Anwar memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. – MalaysiaGazette