latifah@bh.com.my
PUTRAJAYA: Sepanjang tahun lalu, negara berdepan cabaran ekonomi paling getir, khususnya pada suku kedua dengan penguncupan tertinggi iaitu 17.1 peratus berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga PKP Bersyarat (PKPB) bagi mengawal penularan COVID-19.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baru mengambil alih pentadbiran pada Mac tahun lalu ketika COVID-19 muncul, terpaksa mengambil pelbagai langkah jerih untuk memulihkan keadaan. Ketika itu apabila PKP dilaksanakan, majoriti sektor terpaksa ‘direhatkan’ dan implikasinya begitu besar apabila semua sektor menguncup kecuali sektor pertanian dan industri makanan yang mencatatkan pertumbuhan iaitu 0.1 peratus.
Jumlah pertumbuhan yang direkodkan mungkin kecil, tetapi ia menjadi kayu ukur kepada kerja keras dan komitmen Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang berdepan cabaran besar, terutama memastikan jaminan sekuriti makanan untuk rakyat sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.
Jika diimbau semula gelombang pertama PKP, kebanyakan rakyat bimbang terhadap risiko terputus bekalan makanan sehingga ada yang membuat pembelian panik dengan membeli barang keperluan dalam kuantiti banyak.
Prihatin terhadap keresahan masyarakat, kerajaan PN yang baru mengambil alih pentadbiran memutuskan langkah tepat dengan menyenaraikan sektor pertanian dan industri makanan sebagai satu perkhidmatan perlu dari peringkat awal PKP dilaksanakan hingga sekarang.
Mengulas kesukaran dihadapi yang dilalui hingga kini sesudah Setahun Malaysia Prihatin, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang memulakan tugas di MAFI pada 11 Mac 2020 berkata, ramai yang beranggapan kementeriannya berdepan cabaran mengatasi kekurangan bekalan makanan.
“Ketika PKP pertama, kita bukan sahaja berdepan kekurangan makanan, tetapi perlu mengurus isu lambakan sayuran (hasil tanaman) disebabkan penutupan outlet pemasaran.
“MAFI mengambil pelbagai pendekatan bagi mengurus isu lambakan ini antaranya dengan pelaksanaan Pasar Segar Terkawal (PST) membabitkan 196 lokasi terpilih.
“Kami juga menjalankan pemasaran dalam talian dengan menjalin kerjasama strategik antaranya dengan Shopee, Lazada, MyGrocer, Ourshop/Ourfarm Airasia, Dropee dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas berucap pada Majlis Pencapaian Setahun Malaysia Prihatin anjuran MAFI di sini, baru-baru ini.
Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, sepanjang setahun beliau menerajui MAFI, pelbagai agenda, inisiatif dan insentif baharu diperkenalkan yang bukan sahaja bertujuan memperkasa industri pertanian dan makanan tetapi memastikan pemainnya meraih manfaat dan dilindungi kebajikannya.
Katanya, MAFI meletakkan agenda sekuriti makanan sebagai agenda nasional dengan tertubuhnya Jawatankuasa Kabinet Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) yang turut menjadi Jawatankuasa Kabinet pertama dibentuk di bawah kerajaan PN.
Melalui FSCC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, lahirnya Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) iaitu jalinan kerjasama di antara kerajaan dan syarikat peneraju swasta bagi memastikan industri padi dan beras negara lebih kompetitif dan berdaya saing.
“MAFI melihat produktiviti dan tahap sara diri (SSL) padi perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa, begitu juga bagi pendapatan pesawah.
“Melalui pendekatan ini, pemain industri sedia ada dilibatsertakan, maknanya mereka akan bantu pesawah bangunkan tanah. Jadi, ia tidak lagi babitkan peruntukan kerajaan atau kos (dibiaya sendiri) pesawah, tetapi akan ditanggung pemain industri bagi pembelian baja, meracun termasuk membangunkan tanah sawah,” katanya.
Melalui kaedah ini, katanya, produktiviti tanah sawah diusahakan pesawah persendirian mampu menyamai ladang milik swasta yang boleh mencapai 9 hingga 10 tan per hektar.
Beliau turut berkata, MAFI tidak melupakan kebajikan pengusaha tanaman di Sabah dan Sarawak, antaranya dengan menyalurkan subsidi bagi tanaman padi bukit yang banyak diusahakan kedua-dua negeri berkenaan.
“Kerajaan memperuntukkan RM360 juta mewujudkan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud di Sabah dan setakat ini RM160 juta peruntukan sudah digunakan.
Skim insurans pertanian agromakanan dilancar hujung tahun
Skim insurans pertanian dan agro makanan pertama di Malaysia dijangka dilancarkan pada penghujung tahun ini yang bertujuan menjamin keselamatan makanan dan memelihara kebajikan pengusaha industri itu di seluruh negara.
Program rintis inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu masih diperhalusi pada peringkat kementerian dan akan diterajui agensi pembiayaannya, Agrobank.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata skim insurans ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan yang menanggung jutaan ringgit bagi subsidi bencana.
“Kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) memperuntukkan RM80 juta untuk subsidi bencana alam bagi pelbagai tanaman termasuk padi.
“Perbelanjaan (disebabkan bencana alam) amat besar dan perlu ditanggung kerajaan saban tahun dan kerana itu MAFI berpandangan pendekatan ini tidak boleh dilakukan secara berterusan.
“Ia juga bukan sesuatu yang unik kerana negara pertanian seperti Vietnam, Filipina, China dan apatah lagi di Eropah turut melaksanakannya,” katanya.
Ronald berkata, setakat ini, pihaknya sedang memutuskan bentuk insurans yang akan diperkenalkan, termasuk premium liputan dan penyertaan pemain industri yang berkaitan.
Beliau juga tidak menolak sekiranya ada syarikat insurans ingin bekerjasama dan tampil dengan polisi bersesuaian bagi mewujudkan skim insurans berasaskan pertanian.
Dalam perkembangan berkaitan, Ronald berkata, kementeriannya juga bakal melancarkan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) 2021-2030 bulan depan.
“DAN 2.0 adalah dasar jangka panjang bagi tempoh 10 tahun yang menggariskan pelbagai strategi dan pelan tindakan untuk memodenkan sektor agromakanan kepada industri berasaskan teknologi moden, mampan dan berdaya tahan. Ia menjadi dasar utama dan rujukan negara membangunkan sektor agromakanan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




