ALOR SETAR – Keputusan pada pilihan raya ditentukan oleh rakyat dan bukannya oleh keyakinan mana-mana pemimpin politik.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, setiap parti politik berhak meletakkan sasaran yang tinggi, namun pengalaman dalam politik mengajarnya bahawa rakyat merupakan hakim sebenar yang menentukan kemenangan atau kekalahan sesebuah parti.
“Saya menghormati keyakinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Pas mampu menang 36-0 di Kedah. Dalam politik, setiap parti berhak meletakkan sasaran yang tinggi.
“Malah saya sendiri pernah meletakkan sasaran besar kepada Pakatan Harapan di Kedah menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Namun pengalaman politik mengajar saya bahawa rakyat adalah hakim sebenar dan keputusan akhirnya bukan ditentukan oleh keyakinan pemimpin politik tetapi oleh kehendak rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keyakinan Menteri Besar Kedah bahawa Pas mampu memenangi kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah pada pilihan raya akan datang.
Jelas Mahfuz, beliau tidak mempunyai masalah untuk mengakui terdapat sasaran politik yang gagal dicapainya kerana itulah hakikat dalam sistem demokrasi.
Menurutnya, apa yang lebih membimbangkan bukanlah sasaran tinggi yang diletakkan oleh Pas, sebaliknya apabila sasaran tersebut disertai dengan naratif bahawa parti lawan sudah tidak lagi relevan.
“Politik bukan soal mendabik dada. Apa yang membimbangkan ialah apabila sasaran itu disertai dengan naratif kesombongan dan kebongkakan bahawa lawan sudah tidak relevan, parti lain akan lenyap dan hanya Pas mempunyai masa depan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa sejarah politik negara membuktikan tiada parti yang kebal daripada penolakan rakyat.
Katanya, UMNO yang pernah menjadi parti dominan akhirnya kehilangan kuasa, manakala Pas yang pernah mendakwa mampu mengambil alih Putrajaya juga masih gagal merealisasikan hasrat tersebut.
“Bersatu pula pernah mendakwa menjadi parti masa depan orang Melayu, namun kini berdepan perpecahan. Akhirnya rakyat juga yang menentukan. Rakyat menilai prestasi, bukan slogan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, rakyat Kedah ketika ini lebih memberi perhatian kepada isu-isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka seperti peluang pekerjaan, pendapatan, kemudahan asas, pembangunan ekonomi negeri dan masa depan generasi akan datang.
Menurut beliau, pilihan raya bukan medan untuk membuktikan siapa paling tepat membuat ramalan, sebaliknya siapa yang mampu menawarkan penyelesaian terbaik kepada masalah rakyat.
Dalam masa sama, beliau berpandangan Pas perlu menjelaskan beberapa persoalan penting kepada rakyat termasuk berhubung perpecahan dengan Bersatu, kegagalan agenda penyatuan ummah serta pelan ekonomi jangka panjang untuk Kedah.
“Sebelum bercakap mengenai 36-0, Pas perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa hubungan dengan Bersatu berakhir dengan perpecahan, mengapa cita-cita penyatuan ummah akhirnya gagal dan apakah pelan ekonomi jangka panjang yang benar-benar mampu mengubah kedudukan Kedah,” katanya.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas berkata, Perikatan Nasional (PN) yang kini menguasai 33 daripada 36 kerusi DUN di Kedah yakin mampu menambah baki kerusi yang masih berada di tangan pihak lawan.
Beliau turut mendakwa DAP akan kehilangan kerusi DUN Kota Darul Aman, manakala PN berupaya merampas kerusi DUN Sidam dan Bakar Arang selain optimis menawan kerusi Parlimen Sungai Petani pada pilihan raya akan datang.
Menurutnya, keyakinan itu bersandarkan kepada kekuatan sokongan rakyat serta kesiapsiagaan jentera parti yang sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.



