KUALA LUMPUR – Malaysia Aviation Group (MAG) mencatat keuntungan bersih selepas faedah dan cukai (NIAT) sebanyak RM137 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 sekali gus menandakan tahun keempat berturut-turut kumpulan itu merekodkan keuntungan operasi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, pencapaian tersebut meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM54 juta pada 2024 hasil pelaksanaan strategi berdisiplin serta penekanan terhadap kecekapan operasi dan pengurusan kos.
“Pencapaian ini didorong pelaksanaan strategi berdisiplin serta penekanan terhadap pengurusan kos dan kecekapan operasi. Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat kepada RM1.6 bilion berbanding RM788 juta pada tahun sebelumnya.
“Prestasi itu disokong oleh pengukuhan ringgit, harga bahan api yang lebih memihak serta pengembangan kapasiti di pasaran utama,” katanya pada sidang media sempena Kemas Kini Prestasi Tahunan MAG, pada Khamis.
Terdahulu, prestasi operasi MAG bagi tahun kewangan 2025 menunjukkan peningkatan merentasi beberapa indikator utama berbanding 2024 apabila Available Seat Kilometres (ASK) meningkat kepada 53,217 juta kilometer daripada 46,063 juta kilometer.
Selain itu, jumlah penumpang pula bertambah kepada 18.6 juta berbanding 16.6 juta di samping faktor muatan penumpang yang meningkat kepada 81 peratus daripada 80 peratus.
Namun, hasil penumpang mencatat penurunan kepada 27.5 sen berbanding 30.1 sen manakala prestasi ketepatan masa menunjukkan peningkatan ketara kepada 81 peratus berbanding 73 peratus pada 2024.
Tambahnya, hasil kumpulan turut meningkat enam peratus kepada RM14.5 bilion,didorong permintaan perjalanan yang berterusan, pengoptimuman rangkaian serta prestasi komersial yang konsisten.
“Bagi segmen perniagaan penerbangan, Malaysia Airlines Berhad (MAB) mencatat pertumbuhan hasil sebanyak tujuh peratus tahun ke tahun, disokong peningkatan ASK sebanyak 17 peratus selaras usaha memulihkan dan memperluas rangkaian.
“Syarikat turut menyambung semula penerbangan ke Paris dan Brisbane serta meningkatkan kekerapan ke pasaran utama termasuk Australia, India, Maldives dan Bangladesh, mengukuhkan hubungan global Malaysia,” katanya.
Dalam masa sama, Nasaruddin berkata, kerjasama strategik terus diperkukuh bagi memperluas rangkaian serta meningkatkan hubungan ke pasaran utama sekali gus menyumbang kepada peningkatan keyakinan pelanggan dan pengiktirafan terhadap produk serta perkhidmatan kumpulan.
“Pelaksanaan Pelan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 (LTBP2.0) berjaya dimuktamadkan. Ia memperkukuh asas perniagaan selepas penstrukturan semula kewangan yang dilaksanakan pada 2020 hingga 2021.
“Kumpulan kini beralih kepada LTBP3.0 sebagai pelan hala tuju hingga 2030 dengan asas yang lebih kukuh dan keutamaan strategik yang lebih jelas.
Tambah beliau, komitmen terhadap masa depan kekal utuh dengan pemodenan armada sebagai pemacu utama pertumbuhan di samping pelaksanaan pembaharuan armada jarak jauh.
“Pada masa sama, kumpulan mengintegrasikan rantaian nilai melalui penubuhan MAG Culinary Solutions serta pembangunan kemudahan katering baharu yang dijangka mula dibina pada suku kedua 2026 dan beroperasi menjelang suku kedua 2029,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan kekal berwaspada terhadap persekitaran operasi yang tidak menentu termasuk faktor geopolitik dan turun naik pasaran yang boleh memberi kesan kepada kapasiti, rantaian bekalan serta struktur kos sekali gus berpotensi mempengaruhi prestasi kewangan 2026.
“Dalam menghadapi cabaran tersebut, kekuatan organisasi bergantung kepada komitmen tenaga kerja serta sokongan kerajaan dan rakan industri yang menjadi pemacu kepada pencapaian dan kesinambungan momentum kumpulan.
“Sehubungan itu, keutamaan akan terus diberikan kepada ketangkasan operasi, daya tahan kewangan dan kelestarian perniagaan dalam landskap ekonomi serta geopolitik yang mencabar dengan aspek keselamatan kekal sebagai teras utama setiap keputusan,” ujarnya.



