Maguire lega tebus maruah

Maguire lega tebus maruah

London: Harry Maguire menegaskan Manchester United perlu menjadikan kemenangan bersejarah ke atas Liverpool sebagai batu loncatan untuk kembali bangkit dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Pertahanan tengah itu menjadi wira Red Devils selepas menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-84 bagi memastikan kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan di Anfield.

Ia bukan sahaja kemenangan bermakna kerana menamatkan kemarau hampir sedekad tanpa menang di kubu keramat Liverpool, malah membantu pengendali Ruben Amorim mencatat dua kemenangan liga berturut-turut buat kali pertama sejak mengambil alih pasukan.

United kini melonjak ke tangga kesembilan liga selepas memenangi empat daripada enam perlawanan terakhir mereka, hanya dua mata di belakang Bournemouth di tempat ketiga dan Liverpool di tangga keempat.

Bagaimanapun, Maguire memberi amaran bahawa kemenangan itu tidak bermakna apa-apa jika mereka gagal mengekalkan rentak ketika menentang Brighton di Old Trafford.

“Kelab ini akan dapat banyak pujian minggu ini, semangat juang, ketabahan tetapi jika kami tidak beraksi baik hujung minggu depan, semuanya akan hilang begitu saja,” katanya.

Maguire turut mengingatkan bahawa persembahan konsisten adalah kunci kepada kejayaan jangka panjang.

“Kami perlu teruskan rentak ini, bina momentum dan persembahan positif. Prestasi yang baik akan membawa hasil akhirnya,” katanya.

Pemain berusia 32 tahun itu mengakui kemenangan kali ini cukup manis buat dirinya selepas gagal menjaringkan peluang keemasan pada aksi musim lalu yang berakhir seri 2-2 di tempat sama.

Tambah istimewa, ia mungkin penampilan terakhirnya di Anfield bersama United dengan kontraknya bakal tamat hujung musim ini.

“Saya sudah tujuh tahun bersama kelab ini dan tak pernah menang di sini. Ia sesuatu yang sentiasa bermain di fikiran saya. Kalau ini penampilan terakhir saya di Anfield, sekurang-kurangnya saya dapat menoktahkan penantian itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top