wanasr@hmetro.com.my
Selepas kali terakhir menghiburkan peminat di negara ini enam tahun lalu, kemunculan Maher Zain menjayakan persembahan The Journey to the Far East: Maher Zain – The Live Experience baru-baru ini cukup mengamit memori indah.
Konsert anjuran Yayasan Tengku Abdullah (YTA) dengan kerjasama Hitman Solutions dan Happymoon disambut meriah dengan kehadiran lebih 5,000 penonton pelbagai usia.
Penghibur serba boleh berdarah Lubnan-Sweden berkenaan memulakan persembahan di pentas Idea Live Arena, 3 Damansara, Petaling Jaya itu dengan alunan pujian dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dengan lagu yang cukup ikonik berjudul Assalamu Alayka.
Maher turut menyampai beberapa lagu hitnya menerusi persembahan itu antaranya Insha Allah, Alayka Salla Allah, Baraka Allahu Lakuma dan Close To You.
Maher bijak berinteraksi dengan peminat selain mengajak menyanyi bersamanya.
Malah dia mengakui dirinya mengagumi rakyat Malaysia yang mempunyai adab tinggi, sopan santun dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Saya sukakan Malaysia sebab masyarakatnya sangat pentingkan akhlak.
“Ia sangat indah. Contohnya, sekiranya mahu berjalan di hadapan seseorang, mereka akan tunduk tanda hormat,” katanya disambut dengan tepukan peminat.
Tidak hanya itu, penyanyi dan komposer itu turut memuji usaha Malaysia termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terutama dalam memperjuangkan penindasan terhadap Palestin
“Kita perlukan lebih ramai pemimpin dan rakyat seperti Malaysia, yang bangkit menegakkan keadilan serta menentang penindasan di banyak negara terutama Palestin,” katanya.
Pada segmen khas penyanyi berusia 44 tahun itu mendendangkan lagu Palestine Will Be Free dan Free Palestine.
Maher juga tidak mengecewakan peminatnya apabila menyampaikan sebahagian lagu For The Rest Of My Life dan Insha Allah dalam bahasa Melayu pada persembahan yang turut mendapat sorakan gemuruh peminat.
“Saya ada lupa lirik dan sepatutnya memperbanyakkan latihan sebenarnya. Semasa di atas pentas, saya tahu beberapa perkataan asas sahaja. Saya bersyukur dapat menyampaikan lagu itu dengan baik.
“Saya juga berharap kalian memahami sebutan saya dan harap tak terlalu janggal,” katanya pada sidang media usai berakhir konsert terbabit.
Tambah Maher yang dalam perancangan menghasilkan album baharu dia percaya muzik mempunyai kekuatan tersendiri yang mampu memainkan peranan penting, sekali gus mengubah persepsi masyarakat barat supaya lebih terbuka terhadap Islam.
“Saya percaya 100 peratus muzik adalah medium yang sangat berkuasa untuk mendekati, mempengaruhi dan memberi inspirasi. Muzik boleh digunakan dalam dua cara, sama ada ke arah kebaikan atau keburukan.
“Semoga Allah melindungi kita supaya sentiasa menggunakan muzik dengan cara yang baik. Muzik adalah medium untuk meningkatkan kesedaran, memberi inspirasi dan membawa manusia kembali kepada Islam” katanya.
Ditanya mengenai kerjasama dengan artis Malaysia pula, Maher memaklumkan setakat ini dia belum memikirkan perkara itu.
Begitupun dia menganggap ia cadangan yang sangat baik dan akan memikirkan satu projek khas untuk bekerjasama dengan mana-mana artis di negara ini pada masa akan datang.
Sementara itu, Pengerusi dan Pengasas YTA, Tengku Shaheera Tengku Abdullah berkata, pihaknya bangga dapat menganjurkan konsert sulung ini bersama Maher Zain, seorang artis yang karya muziknya mendalami nilai serta mesej yang seiring dengan pendirian YTA.
“Bagi kami di YTA, ini lebih dari sekadar sebuah konsert, ia adalah cerminan iman, kemanusiaan dan kasih sayang. Apabila kita menyaksikan ribuan orang berhimpun di bawah satu bumbung untuk meraikan mesej cinta dan harapan, ia adalah satu peringatan bahawa muzik mampu menyatukan hati.
“Kami amat bersyukur kerana dapat menjadi sebahagian daripada detik istimewa ini dan berharap dapat meneruskan misi kami untuk mengangkat serta memperkasa komuniti melalui inisiatif yang bermakna.” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




