mdroji@bh.com.my
Kuching: Ahli keluarga pasangan suami isteri yang ditemui meninggal dunia dengan kesan kecederaan teruk di Sri Aman semalam, disaran mendapatkan nasihat perundangan berhubung hak penjagaan anak-anak mangsa.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ketika ini tiga anak pasangan itu dijaga oleh bapa saudara sebelah ibu mereka.
Menurutnya, pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah mengambil butiran tiga anak terbabit iaitu dua perempuan dan seorang lelaki.
“Buat sementara waktu sekarang, tiga anak mangsa dijaga oleh bapa saudara mereka.
“Bagaimanapun, proses seterusnya mesti mengikut peraturan dan pihak kami meminta mereka memohon melalui mahkamah untuk memutuskan sebagai orang yang layak dan sesuai untuk menjaga anak-anak itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Dewan Kampung Buntal, Santubong, hari ini.
Nancy berkata, insiden itu cukup mengejutkan dan ramai yang bersimpati dengan tiga anak mangsa yang berusia antara sembilan hingga 17 tahun dan masih bersekolah dengan seorang daripada mereka iaitu lelaki di Tahun 4 manakala dua lagi yang perempuan di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5.
Menurut Nancy, JKM sudah menyediakan pegawai untuk memberi sokongan psiko sosial terhadap mereka.
“Pada masa yang sama, kami akan menyalurkan bantuan dengan peruntukan di bawah JKM,” katanya.
Pasangan suami isteri itu ditemui meninggal dunia dengan kecederaan serius pada tubuh mereka di sebuah rumah di Taman Mutiara, Jalan Brayun, Sri Aman, pagi semalam.
Polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan pasangan terbabit yang tidak sedarkan diri pada jam 6.55 pagi.
Pemeriksaan awal mengesahkan kedua-dua mangsa, iaitu seorang lelaki berusia 45 tahun dan isterinya berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan motif serta punca kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengumpul bukti serta keterangan saksi sedang giat dijalankan.
Difahamkan, mangsa bertugas sebagai Guru Besar di sebuah sekolah di Lubok Antu, Sri Aman manakala isterinya seorang jururawat.
Mayat pasangan terbabit ditemui oleh anak lelaki mereka yang bersiap hendak ke sekolah selepas menyedari mereka tidak keluar dari bilik.
Mayat pasangan terbabit dibawa ke Unit Forensik, Hospital Umum Sarawak (HUS) hari ini untuk proses bedah siasat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




