Mahkamah batal saman ibu Jamaludin terhadap dua cucu

KUALA LUMPUR: Ibu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, Aminah Abdullah gagal mendapatkan perintah agar sebahagian wang tunai kira-kira RM2.29 juta milik anaknya yang disimpan dalam bank tempatan dan luar negara, diagihkan kepadanya.

Perkara itu ditetapkan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang membenarkan permohonan dua anak Jamaludin iaitu Nur Anis, 37, dan Ikhwan Hafiz, 35, selaku defendan untuk membatalkan saman yang difailkan Aminah terhadap mereka.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz dalam prosiding secara dalam talian membenarkan permohonan kedua-dua defendan selepas berpuas hati saman itu tidak boleh dikekalkan berdasarkan prinsip undang-undang res judicata.

Prinsip itu menyatakan, suatu perkara yang telah dikemukakan dan diputuskan oleh mahkamah berasingan, tidak boleh dibangkitkan lagi di mahkamah lain.

Dengan keputusan itu, mahkamah turut memerintahkan Aminah, 88, selaku plaintif membayar kos RM15,000 pada setiap cucunya.

Perkara itu disahkan kepada pihak media oleh peguam K. Shanmuga yang mewakili Nur Anis dan Ikhwan Hafiz serta peguam Wan Zafran Pawancheek yang bertindak bagi pihak Aminah, 88.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 31 Mei 2021,  Aminah memohon perintah agar pentadbir bersama atau pentadbir terkini harta pusaka itu mengagihkan secara separa daripada jumlah RM21.3 juta yang diketahui kepada semua waris-waris dan berdasarkan hak-hak/bahagian dalam Sijil Faraid bertarikh 13 Oktober 2016.

Selain itu, suatu perintah bahawa pentadbir bersama atau pentadbir terkini harta pusaka serta-merta mengagihkan RM2.29 juta kepada plaintif, dalam masa empat belas hari dari tarikh perintah ini serta dari wang yang berada dalam jagaan dan kawalan defendan-defendan atau akaun harta pusaka yang rasmi dan tanpa prasangka kepada apa-apa pendapatan atau aset-aset lebihan yang dari semasa ke semasa selepasnya mungkin dikumpul/diterima oleh/untuk harta pusaka Allahyarham.

Sebelum ini, pada Ogos tahun lalu, Aminah berjaya dalam tuntutannya memasukkan 3,000,000 saham syarikat Rantai Wawasan Sdn. Bhd. sebagai sebahagian daripada aset harta pusaka peninggalan anaknya di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril membuat keputusan itu selepas membenarkan sebahagian tuntutan saman Aminah selaku plaintif yang dikemukakan terhadap dua cucunya yang menamakan anak sulung Allahyarham, Nur Anis, dan Ikwan Hafiz masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua. – UTUSAN