Oh! Negara
Bung Moktar dibebaskan daripada tuduhan rasuah RM2.8 juta selepas kematiannya, namun Zizie Izette masih perlu hadapi perbicaraan.
Kes rasuah melibatkan bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, akhirnya ditamatkan selepas Mahkamah Sesyen memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan beliau daripada tiga tuduhan membabitkan wang RM2.8 juta.
BACA: Terkini! Ini Keputusan Dibuat Mahkamah Terhadap Bung Moktar Dan Zizie Izette
Memetik laporan Harian Metro, keputusan itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin Hou, yang menjelaskan pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan kes tersebut susulan kematian Bung Moktar pada 5 Disember lalu.
Kes Bung Moktar gugur

Hakim Rosli Ahmad memerintahkan semua tuduhan terhadap Bung Moktar digugurkan, termasuk pemulangan wang jaminan RM100,000 serta pasport beliau.
Difahamkan, ketika kejadian didakwa berlaku, Bung Moktar bertindak sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA dan dikatakan menerima suapan tunai RM2.2 juta dan RM262,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid.
Wang tersebut dikaitkan dengan pelaburan FELCRA sebanyak RM150 juta dalam unit amanah.
Zizie Izette gagal gugur tuduhan, perbicaraan diteruskan Mac ini

Walau bagaimanapun, usaha balu beliau yang juga selebriti, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad untuk menggugurkan tiga tuduhan bersubahat tidak berjaya selepas representasi yang dikemukakan ditolak.
Perbicaraan kes terhadap Zizie Izette dijadualkan berlangsung pada 5, 6 dan 12 Mac ini. Beliau berdepan tuduhan bersubahat berhubung penerimaan suapan yang disalurkan ke akaun atas namanya di Public Islamic Treasures Growth Fund dan secara tunai daripada seorang perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar.
Ketiga-tiga pertuduhan terhadap pasangan itu dilakukan di Public Bank Cawangan Taman Melawati sekitar pertengahan Jun 2015.
Jika disabitkan, hukuman di bawah Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Pssttt! Kes rasuah ini bukan sahaja menarik perhatian kerana nilai yang terlibat, tetapi juga kerana membabitkan pasangan terkenal. Kini semua mata tertumpu kepada perbicaraan Zizie Izette yang bakal berlangsung tak lama lagi. Semoga segala proses berjalan dengan adil demi menegakkan kebenaran.
Kredit: Harian Metro
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.



