Mahkamah tolak saman bekas ADUN, keputusan Speaker DUN Perlis kekal sah

Mahkamah tolak saman bekas ADUN, keputusan Speaker DUN Perlis kekal sah

am@hmetro.com.my

Kangar: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membenarkan permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis untuk membatalkan saman pemula yang difailkan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini berhubung isu kekosongan kerusi DUN.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu selepas mendapati keputusan Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan adalah muktamad, kebal daripada siasatan kehakiman dan tidak boleh dicabar di mahkamah selaras dengan Perkara 72(1) Perlembagaan Persekutuan serta prinsip pengasingan kuasa.

“Mahkamah ini memutuskan bahawa keputusan Speaker (defendan pertama) untuk mengisytiharkan kekosongan luar jangka membabitkan kerusi plaintif yang dibuat di bawah Perkara 50A Fasal (3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis adalah sah dan terangkum dalam pengurusan dalaman serta urusan teras Dewan.

“Meskipun pengumuman itu dibuat menerusi sidang media (di luar dewan), ia tetap selaras dengan ruang lingkup kuasa Perlembagaan yang diperuntukkan kepadanya.

“Tindakan ini secara prinsipnya tidak boleh diadili (non-justiciable) selagi ia tidak melampaui bidang kuasa atau melanggar prinsip keadilan asasi,” katanya.

Mohamad Abazafree berkata, mahkamah terikat dengan keputusan terdahulu Mahkamah Persekutuan, antaranya kes membabitkan bekas Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim yang menekankan campur tangan kehakiman tidak dibenarkan dalam pengurusan dalaman sesebuah dewan.

“Jika mahkamah bertindak untuk meneliti perkara yang dipertimbangkan oleh Speaker seperti surat pemecatan plaintif dan afidavit yang difailkan, maka ia akan membuka ruang kepada mahkamah ini untuk mengadili keputusannya.

“Secara amnya, jika sesuatu perkara itu tidak boleh diadili oleh mahkamah, ia perlu dibatalkan di bawah Aturan 18 Kaedah 19, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 kerana ia dianggap remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

“Oleh yang demikian, mahkamah membenarkan notis permohonan defendan untuk membatalkan saman pemula plaintif.

“Memandangkan kes ini melibatkan isu kepentingan awam, mahkamah tidak membuat sebarang perintah berkaitan kos,” katanya.

Terdahulu pada 2 Januari lalu, tiga bekas wakil rakyat iaitu bekas ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail; bekas ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim; dan bekas ADUN Chuping, Saad Seman, memfailkan saman pemula bagi mencabar keputusan Speaker DUN Perlis.

Tindakan itu dibuat susulan pengumuman Speaker pada 25 Disember lalu, yang mengisytiharkan kekosongan kerusi di tiga kawasan itu selepas menerima notis rasmi berhubung pemberhentian keahlian mereka secara serta-merta daripada PAS.

Sementara itu, peguam yang mewakili defendan, Wan Rohimi Wan Daud berkata, keputusan mahkamah hari ini, menoktahkan keseluruhan kes, melainkan plaintif memfailkan rayuan.

“Mahkamah membenarkan permohonan kita untuk membatalkan kes induk plaintif. Kuasa Speaker tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah selagi mana beliau bertindak mengikut ruang lingkup Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis, yang mana itulah hakikat yang dilakukan.

“Kes ini telah collapse (tamat). Sekarang kita serahkan kepada pihak plaintif sama ada mereka mahu menggunakan tempoh 30 hari bermula hari ini untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan atau sebaliknya,” katanya.

Sementara, peguam plaintif, Mohd Jamil Yaacob mengesahkan pihaknya akur dengan keputusan mahkamah, namun belum memuktamadkan langkah seterusnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top