Tiada maaf! Yusof Haslam ‘haramkan’ pelakon terlibat kes bahan terlarang sertai produksi

Tiada maaf! Yusof Haslam ‘haramkan’ pelakon terlibat kes bahan terlarang sertai produksi

Pemilik Skop Productions, Datuk Yusof Haslam mengambil pendirian tegas dengan menggugurkan serta-merta seorang pelakon wanita yang disyaki positif dadah jenis methamphetamine daripada drama Gerak Khas Undercover 2.0.

Menurutnya, tiada ruang untuk berkompromi dalam soal integriti walaupun penggambaran hanya berbaki dua episod sebelum tamat.

Pengambaran tinggal 2 minggu sahaja

Memetik laporan daripada Kosmo! Online, keputusan itu dibuat demi menjaga imej produksi dan tidak mahu isu terbabit mencemarkan nama baik pasukan serta drama kepolisan yang diterbitkan syarikatnya.

“Penggambaran tinggal kira-kira dua minggu sahaja lagi selepas dimulakan sejak Disember 2025. Kita baru buat majlis pelancaran dan dah disiarkan pun untuk minggu kedua.

“Ikutkan memang dia pun masih ada banyak babak lagi untuk dua episod terakhir siri ini, tetapi kita nekad buat keputusan tegas.

“Kalau drama ini disambung untuk musim akan datang pun, nama dia tiada dalam senarai. Kalau kami tahu lebih awal, memang takkan ambil dia,” katanya.

Sudah ingatkan semua pelakon dan kru

Menurut Yusof lagi, sejak awal lagi beliau sering mengingatkan semua pelakon dan kru agar menjauhi penyalahgunaan dadah serta menjaga tingkah laku demi memelihara reputasi produksi.

“Saya selalu tekankan soal integriti. Saya pesan kepada semua, jangan terlibat dengan dadah atau benda yang boleh merosakkan imej pasukan.
“Tapi kita tak mampu kawal apa yang mereka buat di luar waktu bekerja. Anak ramai pun, seorang dua tetap ada yang buat hal. Dah boleh fikir buruk baik. Takkan kita nak ikut ke mana-mana,” ujarnya.

Malah, beliau mendedahkan pelakon berkenaan sempat merayu agar diberi peluang menamatkan baki penggambaran, namun permintaan itu ditolak.

“Dia merayu kepada saya, minta dihabiskan penggambaran. Saya cakap, ‘no, enough is enough. I have to drop you.’ (Cukup, saya kena gugurkan awak).
“Saya beritahu dia, untuk produksi Skop selepas ini memang saya tak akan ambil lagi. Apatah lagi untuk drama kepolisan.” katanya.

Kecewa dengan pelakon terbabit

Yusof mengakui kecewa kerana pelakon itu sebelum ini tidak pernah mempunyai masalah disiplin sepanjang hampir lapan tahun bersama francais Gerak Khas. Bagaimanapun, beliau menyifatkan tindakan tersebut telah memberi kesan bukan sahaja kepada individu terbabit, malah turut menjejaskan produksi yang sedang dibangunkan.

“Selama ini tiada masalah disiplin pun. Sebab itu saya ambil dia untuk naskhah terbitan TVS ini. Apabila jadi macam ini, saya memang dukacita.
“Bagi saya, dia sendiri yang membakar kariernya. Ini bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya, malah tempias turut terkena kepada produksi yang sedang kami bangunkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Yusof menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan berharap insiden berkenaan menjadi pengajaran kepada seluruh warga industri hiburan agar terus menjaga disiplin serta integriti.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelakon wanita drama kepolisan terkenal ditahan selepas disyaki positif dadah jenis methamphetamine ketika berada di sebuah pusat hiburan di ibu negara.

Aktres itu ditahan bersama 17 individu lain dalam serbuan yang dijalankan oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Sumber: Kosmo! Online (Hanisah Selamat)

Scroll to Top