am@hmetro.com.my
Pendang: Wau atau layang-layang pada kelazimannya dimainkan pada waktu siang sebagai aktiviti riadah, namun akibat cuaca panas, penduduk Kampung Panchor di sini, memilih bermain permainan tradisional itu selepas solat sunat tarawih.
Aktiviti santai yang asalnya dimulakan lima anak muda, kini disertai hampir 40 pemain yang juga penduduk setempat.
Muhammad Ammar Mohd Kamal, 24, anak muda di kampung berkenaan mendapat idea bermain wau pada waktu malam berikutan musim angin timur tahun ini menyebabkan cuaca terlampau panas walaupun pada lewat petang.
Katanya, wau terawal akan dinaikkan kira-kira jam 11 malam dan mereka akan bermain selama dua hingga tiga jam hampir setiap malam Ramadan.
“Kalau main wau waktu siang, cuaca amat panas. Jadi kami main waktu malam kerana cuaca lebih sejuk dan nyaman,” katanya.
Seorang lagi penduduk Muhammad Firdaus Ahmad, 26, berkata bagi membolehkan mereka melihat wau yang diterbangkan, mereka mengubah suai wau masing-masing dengan memasang lampu Diod Pemancar Cahaya (LED).
Katanya, kos memasang lampu berkenaan tidak mahal berikutan hanya memerlukan modal tambahan kira-kira RM2 bagi seunit lampu.
“Jika pakai lima biji lampu, hanya RM10 sahaja, manakala bateri pula boleh tahan sehingga tiga ke empat hari, rasanya ia sangat berbaloi.
“Uniknya sekarang, penduduk dapat lihat cahaya kecil yang terbang di langit selain ada bintang pada malam tertentu, ia sangat cantik dan berseri, sekali gus membuatkan pemain berasa lebih teruja,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Komuniti Penduduk Kampung Panchor, Mohamad Mohd Saad, 65, berkata aktiviti bermain wau pada waktu malam sedikit sebanyak dapat mengelak daripada anak muda terbabit kegiatan tidak bermoral.
Katanya, aktiviti itu juga dilihat dapat mengeratkan hubungan antara penduduk setempat apabila ia turut disertai penduduk dari beberapa kampung berhampiran seperti Kampung Bechah, Kampung Charok Kudung dan Kampung Bukit Kechil.
“Aktiviti ini juga turut menjadi tarikan terbaharu buat anak Kampung Panchor yang berada di perantauan untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri tahun ini, suasana di kampung akan lebih meriah.
“Malah ada orang kampung yang bekerja di luar tak sabar nak balik raya bila mereka tengok aktiviti ni dalam kumpulan WhatsApp, ada yang minta untuk teruskan aktiviti ini sehingga hari raya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




